KUANTAN:Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengerahkan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) bagi menjalankan misi operasi dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dipercayai hanyut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik sebelum dibawa arus deras di Kampung Bertang, Sungai Koyan, Kuala Lipis.

Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, operasi itu digerakan petang tadi, namun kedua-dua mangsa masih tidak ditemukan.

"Setakat jam kira-kira 4 petang tadi, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai meskipun pihak kami telah menggerakkan PPDA dari Kuantan.

"Sama juga dengan kes yang berlaku di Jerantut, mangsa juga masih tidak dijumpai dan operasi diteruskan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

BACA: Banjir Pahang: Ibu dan anak hanyut selepas bot dinaiki terbalik

Ditanya adakah kawasan SAR telah diperluaskan, Nor Hisham berkata, setakat ini operasi masih tertumpu di lokasi yang dikatakan mangsa terjatuh.

"Buat masa ini, tumpuan operasi masih di kawasan yang mangsa terjatuh dengan melihat arus air yang bergerak.

"Untuk kita perluaskan kawasan SAR, kita akan lihat keperluan dari semasa ke semasa, namun keadaan air sudah surut dan kita akan tumpukan di kawasan yang lebih kecil," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azri Akmar Ayob ketika dihubungi berkata, operasi hari ini ditangguhkan pada pukul 6 petang tadi berikutan suasana semakin gelap serta hujan lebat di kawasan tersebut.

"Kita akan teruskan operasi SAR ini pada esok," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Isnin, sebuah bot yang dinaiki sekeluarga terbalik selepas dipukul arus deras ketika dalam perjalanan pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mendapatkan bantuan makanan.

Mangsa, Rozi Omar, 52, yang juga ibunya bersama anaknya, Zakirah Ahmad Husin, 19 dipercayai hanyut manakala dua beranak lagi iaitu ayahnya, Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan anaknya, Nur Aina, 23, terselamat selepas berjaya berpaut pada sebatang kayu.