KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Rompin terus mencatatkan peningkatan apabila 353 orang daripada 106 keluarga direkodkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peningkatan itu susulan PPS Balai Raya Kampung Denai yang dibuka pada petang Jumaat.

Berbanding 12 tegahari pada Jumaat, seramai 327 mangsa daripada 99 keluarga mendapat perlindungan di tiga PPS.

Empat PPS yang dibuka ialah PPS Kampung Setajam membabitkan 165 mangsa, Balai Raya Rekoh (122 mangsa), Balai Raya Bukit Lepas (40 mangsa) dan Balai Raya Kampung Denai (26 mangsa).

Sementara itu, maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan paras Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin masih melepasi paras bahaya pada jam 8 pagi ini.

Paras Sungai Keratong itu merekodkan bacaan 24.36 meter berbanding paras bahaya ditetapkan ialah 23 meter.

Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera pula merekodkan bacaan 30.63 meter iaitu melepasi paras waspada iaitu 29.70 meter.