KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang meningkat kepada 1,582 mangsa daripada 421 keluarga setakat pukul 4 petang, hari ini.

Ini membabitkan 27 PPS di enam daerah, termasuk daerah Bera yang terbaru dilanda banjir, apabila 29 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Pasal pada pukul 2 petang tadi.

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang, Rompin merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 842 mangsa daripada 257 keluarga, diikuti Maran dengan 441 orang daripada 103 keluarga.

Di Pekan dan Jerantut, masing-masing merekodkan 106 mangsa daripada 17 keluarga; dan 96 mangsa membabitkan 21 keluarga yang terjejas.

Sementara di Raub pula membabitkan 16 keluarga dengan jumlah 68 mangsa yang dipindahkan ke lima PPS di daerah itu.