KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di Pahang terus menunjukkan peningkatan  kepada 581 orang sehingga jam 4 petang hari ini berbanding 569 orang yang direkodkan jam 12 tengah hari tadi. 

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa terdiri daripada 174 keluarga itu kini ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas iaitu Temerloh, Jerantut, Lipis, Raub dan Bera.

"Daerah Temerloh merekodkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 382 orang daripada 115 keluarga yang ditempatkan di PPS Seri Semantan. 

"Manakala di Lipis seramai 83 mangsa membabitkan 27 keluarga telah ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit dan PPS Masjid Beletik," katanya di sini hari ini. 

Semua mangsa terdiri daripada 174 keluarga itu kini ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS). - Foto APM Pahang

Jelasnya, di daerah Raub pula  seramai 48 mangsa  daripada 12 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu SK Ulu Atok, Masjid Kuala Semantan, Balairaya Kampung Ria dan Balai Raya Kampung Sengkela. 

Ujarnya lagi, di Bera seramai 29 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Buntar dan SK Kerayong," tambahnya.

Jelasnya, di Jerantut pula melibatkan seramai 39 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Balairaya Kg Sempadan dan PPS SK Batu Balai.