KUANTAN: Seramai tujuh orang daripada dua keluarga dari Kampung Baru Perwira Jaya, Rompin, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir kilat malam tadi, setakat jam 8 pagi ini.

Menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hujan lebat yang berterusan sejak Isnin lalu menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air.

Difahamkan, semua mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya, Rompin.

Sementara itu, maklumat laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan dua sungai di Rompin melepasi paras amaran pada jam 7.45 pagi ini.

Sungai berkenaan ialah Sungai Pukin dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong.

Sementara itu, tujuh sungai merekodkan paras waspada berikutan hujan lebat berterusan di beberapa daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran dan Temerloh.