KUANTAN: Banjir yang melanda Pahang sejak hujung minggu lalu telah meragut 11 nyawa setakat Selasa dengan angka kematian dijangka meningkat ekoran beberapa mangsa yang masih hilang dikhuatiri lemas.

Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Yusoof, sebanyak lapan kematian direkodkan di Bentong, dua di Kuantan dan satu di Raub.

“Polis juga menerima laporan terdapat empat mangsa yang dilaporkan masih hilang di Bentong dan satu di Raub,” katanya dalam kenyataan pada lewat petang Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor


Banjir Terburuk | Perkembangan banjir dan pemulihan di Pahang

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi JPBM Pahang Ismail Abdul Ghani memaklumkan pihaknya menemui mayat seorang wanita dalam tragedi di kawasan Chalet di Bentong kira-kira 10.15 pagi tadi.

Mangsa yang ditemui dikenali sebagai Yap Koon Lan itu ditemui pasukan penyelamat di bawah timbunan runtuhan kayu balak dan pasir.

Tambahnya usaha mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang hilang dan dibawa arus sungai itu akan diteruskan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan sehingga 6 petang Selasa, Pahang merekodkan 40,663 mangsa daripada 11,060 keluarga yang ditempatkan di 279 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan daerah.

Daerah Kuantan merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 20,602 di 69 PPS diikuti Temerloh dengan 9.746 mangsa di 72 PPS.