KUANTAN: Negeri Pahang menerima peruntukan sebanyak RM27 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih infrastruktur awam yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, peruntukan tersebut adalah bagi kerja-kerja pembaikan jangka masa pendek, sekali gus meminimumkan risiko banjir.

Tambah Wan Rosdy, peruntukan itu hanya khas untuk pembaikan infrastruktur awam dan bergantung kepada laporan pihak berkuasa tempatan bagi daerah-daerah terjejas banjir.

"Insya-Allah kita akan gunakan sebaik mungkin dengan peruntukan RM27 juta ini untuk membaiki perkara perkara yang mungkin boleh membantu untuk meminimumkan masalah banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Daerah Kuantan di Sekolah Kebangsaan Pelindung, Kuantan pada Khamis.

Dalam majlis berkenaan, Kerajaan Pahang menyalurkan Bantuan Wang Ihsan RM1,000 kepada 206 ketua isi rumah yang terlibat dalam kejadian banjir.

Bantuan Wang Ihsan ini melibatkan 802 keluarga  yang terlibat dalam bencana banjir, yang berpindah ke pusat pemindahan sementara yang akan diserahkan selewat-lewatnya pada 16 Februari depan.

Tujuh daerah di Pahang yang terlibat dengan kejadian banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut baru-baru ini ialah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan.

Bantuan tersebut merupakan peruntukan awal RM1 juta yang disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.