KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kampus Gong Badak, di sini mengambil inisiatif mengaktifkan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian selepas universiti itu dilanda banjir pada pagi Ahad.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, kelonggaran tersebut tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan kelak susulan beberapa kawasan berhampiran dan dalam kampus dinaiki air.

Menurutnya, aktiviti luar seperti kerja lapangan atau amali juga hendaklah dijadualkan semula kepada suatu tarikh yang bersesuaian manakala warga kerja UMT yang dilanda banjir boleh memohon cuti khas iaitu cuti bencana.

“Warga kerja yang terjejas untuk hadir ke kampus atau pejabat pula disarankan memohon bekerja dari rumah melalui Ketua Pusat Tanggungjawab masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Mazlan berkata, kelonggaran dan inisiatif itu merupakan langkah terbaik bagi mengimbangi antara pengoperasian UMT dan kebajikan warga kampus.

Jelas beliau, kawasan berhampiran kampus seperti Kampung Tok Jembal, Kampung Gong Pak Jin, Kampung Pak Tuyu dan Kampung Jati yang rata-rata merupakan kawasan kediaman pelajar UMT luar kampus (rumah sewa) telah dinaiki air.

Selain itu katanya, beberapa kawasan di dalam kampus UMT turut dinaiki air menyebabkan Bahagian Keselamatan UMT meminda laluan sedia ada untuk memudahkan pergerakan warga kampus keluar dan masuk.

“UMT amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan warga kampus ketika situasi yang penuh mencabar ini.

“Melihat kepada pola hujan masih lagi melanda negeri ini, warga UMT dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan selain patuh kepada arahan pihak berkuasa,” katanya.

Kata Mazlan, pemantauan kediaman pelajar akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku

Beliau turut memaklumkan UMT bersiap siaga membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail sekiranya perlu.

“Para pelajar dan kakitangan yang memerlukan bantuan serta pertanyaan bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Bilik Gerakan Banjir di talian 09-668 5059/4118,” katanya. -Sinar Harian