IPOH: Mangsa banjir di Perak terus mencatatkan penurunan kepada 81 orang dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup di dua daerah terjejas, semalam dan hari ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah berkata, seramai 81 mangsa banjir daripada 21 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.

"PPS di Sekolah Kebangsaa Kerunai, di daerah Hulu Perak ditutup pada Sabtu jam 12 tengah hari manakala PPS di Sekolah Kebangsaan Behrang Batu 8, Behrang Ulu di Muallim ditutup hari ini jam 8.30 pagi.

"Terdapat pengurangan mangsa di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak pula kekal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sehingga kini, hanya dua PPS yang masih dibuka dengan jumlah mangsa di Hilir Perak sebanyak 40 orang daripada 12 keluarga dan di Kerian pula 41 orang daripada sembilan keluarga.

Semalam, seramai 203 mangsa daripada 63 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Hilir Perak dan Kerian.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, banjir yang melanda dua daerah di Perak kali ini bukan banjir biasa seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, ia bukan banjir kilat, sebaliknya banjir termenung luar biasa yang mengambil masa lebih lama untuk surut.

Menurutnya, banjir yang berlaku sebelum ini biasanya disebabkan paras Sungai Perak meningkat dan air dari sungai lain serta parit tidak dapat mengalir ke sungai berkenaan.