PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan hari ini mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing untuk Kelantan dan Terengganu, bagi sebagai bantuan awal untuk meringankan beban rakyat akibat bencana Monsun Timur Laut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil selepas melihat banjir yang melanda kedua-dua negeri itu lebih ‘parah’ daripada biasa.

Beliau berkata, perkara itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali akan memantau peruntukan tersebut melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

“Memandangkan banjir ini lebih parah daripada biasa, walaupun saya telah maklumkan TPM Ahmad Zahid yang ke sini berapa hari lalu, telah beri kelulusan RM12 juta, saya setuju setelah bincang dengan Kementerian dan Jemaah Menteri tadi, untuk luluskan segera RM50 juta untuk Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu.

“Ini keperluan segera yang melibatkan kebajikan rakyat, jadi peruntukan awal RM1,000 kepada semua keluarga ketua keluarga terlibat, dan sekiranya ada kemalangan, peruntukan RM10,000 bagi mangsa tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas meninjau perkembangan banjir di beberapa daerah di Kelantan, termasuk Kota Bharu dan Pasir Mas hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ekoran bencana banjir yang melanda Pantai Timur, Kelantan merupakan negeri pertama yang beliau adakan lawatan secara rasmi selepas diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Kebetulan Kelantan ini negeri pertama saya kunjungi, dan Tambun (Perak) bukan lawatan negeri. (Kelantan) negeri pertama saya pilih selaku Perdana Menteri yang baharu.

“Ini menunjukkan kesediaan saya untuk bekerjasama dengan semua, dan saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) pegawai-pegawai jajahan dan juga pihak Jabatan Perairan dan Saliran negeri yang beri taklimat lengkap, dan saya beri jaminan langkah percepat projek (tebatan banjir) Sungai Golok Fasa 1 dan 2,” katanya lagi.

Anwar berkata, beliau sedia maklum tentang penangguhan sementara projek tebatan banjir tersebut, kerana beliau mahu dijalankan secara tender terhad untuk memastikan tiada kos berlebihan.

Jelasnya lagi, beliau memberi jaminan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sebaik sahaja JPS mengemukakan dokumen berkaitan tender terhad kepada Kementerian Kewangan, projek tersebut akan dipercepatkan.

“Walaupun projek tebatan banjir tangguh sebentar, kerana saya mahu dijalankan proses tender walaupun terhad, untuk memastikan tidak ada kos yang berlebihan.

“Saya beri jaminan sebaik saja JPS kemukakan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Kewangan akan ‘fast track’ dengan syarat ia bukan rundingan terus demi menjami kos tidak meningkat,” katanya lagi.

Anwar berkata, beliau meminta perkara itu diselesaikan dalam tempoh sebulan demi menjamin kesejahteraan rakyat di negeri itu.

“Saya minta kalau boleh akhir bulan. Tapi schedule saya tak tahu, saya bagi tahu kalau boleh dipercepatkan, kalau urusan di MOF disegerakan. Tapi schedule bulan Januari, jadi saya beri kelonggaran.

“Ikut tender terhad, tidak boleh tender biasa kerana masa terlalu panjang, tak boleh juga rundingan terus kerana kos meningkat tak tentu arah. Lebih baik tender terhad kalau nak cepat, proses itu boleh dipercepatkan,” katanya lagi.