Banjir: Rakyat diminta utamakan keselamatan, JKM sedia aktifkan PPS tambahan - Nancy

Nancy berkata KPWKM melalui JKM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa, serta memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan secepat mungkin. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru rakyat agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga ketika negara berdepan fasa cuaca yang mencabar.
Ringkasan AI
- KPWKM seru rakyat utamakan keselamatan diri dan keluarga ketika menghadapi cuaca mencabar, dengan pesanan khas untuk kanak-kanak, warga emas, dan OKU agar berwaspada serta elak berdekatan sungai dan kawasan berisiko.
- KPWKM melalui JKM mengaktifkan langkah kesiapsiagaan dengan memantau keadaan banjir secara berterusan, memastikan bantuan diberikan kepada keluarga terkesan serta sedia untuk mengaktifkan PPS tambahan jika diperlukan.
- Nancy menyatakan rasa dukacita terhadap dua kes kematian akibat banjir di Kelantan, sambil beritahu bahawa banjir di seluruh negara masih serius dengan 242 PPS aktif dan hampir 28,000 mangsa.
"Mereka yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan sokongan di PPS terdekat atau menghubungi saluran kecemasan rasmi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nancy berkata KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa, serta memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan secepat mungkin.
Beliau berkata sebagai langkah kesiapsiagaan, JKM telah digerakkan sejak awal bersama kerajaan negeri dan agensi bencana lain.
"JKM juga bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk. Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada paras mencukupi dan akan terus diagihkan mengikut keperluan mangsa di lapangan," katanya.
Nancy turut menyatakan rasa dukacita terhadap dua kes kematian akibat banjir yang direkodkan di Kelantan, masing-masing di Gua Musang (21 Nov) dan Tanah Merah (26 Nov).
"Takziah kepada keluarga mangsa, dan semoga mereka diberi kekuatanmenghadapi detik yang amat sukar ini," katanya.
Setakat hari ini, banjir di seluruh negara kekal serius dengan 242 PPS beroperasi, melibatkan 27,489 mangsa daripada 9,033 keluarga.
Amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam menunjukkan hujan sangat lebat dan berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Beberapa negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Johor turut berada pada tahap amaran buruk dan waspada.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


