Ringkasan AI
- Kerjasama antara Yunnan University China dan Borneoland Paddy Sdn Bhd berjaya menghasilkan tuaian pertama padi saka di tanah bekas paya di Miri, Sarawak.
- Varieti padi saka seperti "Yunda 28" menunjukkan hasil lebih tinggi berbanding padi tempatan, dengan potensi mengurangkan keperluan penanaman semula setiap musim.
- Sarawak menyasarkan peningkatan tahap sara diri beras kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui aplikasi teknologi ini dan penubuhan pusat penyelidikan padi saka.
MIRI: "Apabila melihat sawah padi bertukar menjadi keemasan, saya sangat teruja sehingga tidak dapat tidur. Kata-kata tidak dapat menggambarkan apa yang saya rasakan," kata Hii King Chiong.
Berapa bulan selepas tuaian pertama padi saka di kawasan yang dulunya merupakan tanah paya di Sarawak, Hii, Pengerusi Eksekutif Borneoland Paddy Sdn Bhd, masih menceritakan detik berkenaan dengan penuh keterujaan, lapor Xinhua.
Semasa Xinhua melawat tapak ujian di Miri pada 15 Okt, pokok padi yang hijau subur memenuhi petak sawah, dengan tuaian kedua dijangka dalam tempoh lebih sebulan sahaja lagi.
Di kawasan berhampiran, anak benih daripada beberapa varieti sedang membesar dalam ujian lanjut. Agak sukar untuk membayangkan bahawa tanah berkenaan dahulunya merupakan kawasan paya.
Pada 6 Ogos, sawah itu menghasilkan tanaman pertamanya selepas beberapa bulan kerja bersama dilaksanakan oleh Yunnan University dari China dan Borneoland Paddy.
Pada majlis penuaian itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sekiranya teknologi berkenaan dapat diguna pakai secara meluas, negeri itu mampu meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras dengan ketara dan berpotensi menjadi pengekspot beras.
Sarawak kini hanya memenuhi kira-kira 21 peratus daripada keperluan berasnya menerusi pengeluaran domestik, dan kerajaan negeri berhasrat untuk meningkatkan kadar berkenaan kepada 60 peratus menjelang 2030.
Meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar telah menjadi keutamaan penting untuk memperkukuh keterjaminan makanan.
Bagi meneroka penyelesaian yang berpotensi, Sarawak beralih kepada China. Wilayah Yunan dan Sarawak merupakan wilayah saudara, manakala Yunnan University dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah lama menjalin pertukaran akademik.
Berdasarkan hubungan berkenaan, kedua-dua pihak mula bekerjasama pada 2025 untuk menguji varieti padi perenial yang dibangunkan oleh Yunnan University di Sarawak.
"Saya mempunyai keyakinan terhadap pasukan dari China dan teknologi China," kata Hii.
Sebelum bekerjasama dengan pasukan China, Hii telah menjemput beberapa pasukan pakar untuk menilai tanah berkenaan, namun keadaan persekitaran tanah paya yang mencabar menyebabkan ramai meragui prospek penanamannya.
Kejayaan bermula apabila beliau mendekati pasukan yang diketuai oleh Hu Fengyi, Dekan Kolej Pertanian Yunnan University.
Biarpun pakar lain menasihatinya untuk melupakan hasrat itu, pasukan Hu telah memeriksa tapak berkenaan dan memberikan jawapan yang berbeza.
Bagi para penyelidik, membawa varieti padi ke Malaysia hanyalah langkah pertama.
Cabaran sebenar adalah untuk membantu tanaman beradaptasi dengan iklim, tanah dan keadaan air tempatan di samping melengkapkan pasukan Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk menanam padi saka.
Pada Mac, 30 varieti padi saka memasuki fasa ujian. Penyelidik China menyediakan bimbingan praktikal sepanjang proses berkenaan, bermula daripada penyediaan sawah dan pembinaan batas hingga kepada pembinaan sistem pengairan dan saliran, menyemai benih, membesarkan anak benih serta menanamnya.
Mereka turut membantu dalam pengurusan air dan baja serta kawalan perosak, memantau pertumbuhan tanaman menerusi lawatan tapak dan pemantauan jarak jauh serta membuat penyesuaian amalan penanaman sekiranya perlu.
Selepas tuaian pertama, pasukan berkenaan memilih lima varieti yang menunjukkan kebolehsesuaian yang memberangsangkan dengan keadaan tempatan.
Antaranya, "Yunda 28" mencatatkan prestasi yang amat baik, menghasilkan lebih 500 kilogram (kg) bagi setiap mu (satu mu bersamaan kira-kira 667 meter persegi), berbanding kira-kira 200 kg bagi setiap mu untuk varieti padi tempatan tradisional.
Keputusan awal berkenaan memberi dorongan kepada kedua-dua pihak untuk meneroka potensi teknologi berkenaan bagi aplikasi yang lebih meluas di Sarawak.
Satu ciri unik padi saka adalah keupayaannya untuk tumbuh semula selepas dituai.
Tunas pada batang di dalam tanah boleh bertunas menjadi pucuk baharu, sekali gus berpotensi mengurangkan keperluan untuk menyemai benih, membesarkan anak benih dan menanam semula pokok padi bagi setiap musim tanaman baharu, kata Hu.
Namun, tuaian pertama hanyalah penanda aras permulaan. Sama ada padi berkenaan mampu memberikan hasil yang konsisten sepanjang musim berturut-turut di Sarawak, dan varieti mana yang boleh beradaptasi dengan persekitaran tempatan dalam jangka panjang, memerlukan pemerhatian serta ujian lanjut.
Teknologi pertanian tidak boleh dipindahkan secara terus dari satu tempat ke tempat lain tanpa penyesuaian, kata Hu. Ia mesti ditambah baik berdasarkan keadaan dan keperluan tempatan.
"Kami perlu terus menambah baik teknologi ini supaya ia lebih mudah digunakan, menghasilkan hasil yang lebih tinggi dan beras berkualiti lebih baik, serta memenuhi keperluan Malaysia dengan lebih baik," katanya.
Kerjasama berkenaan kini mula melangkah ke fasa seterusnya. Abang Johari telah menyatakan hasrat untuk memperdalam hubungan dengan Yunnan University dan menubuhkan pusat penyelidikan padi saka di Sarawak.
Pada awal Oktober, pasukan Malaysia melawat Yunnan University untuk mempelajari mengenai kemudahan penyelidikan dan peralatannya.
Seiring kemajuan perkongsian itu, pasukan Malaysia mendapat kefahaman yang lebih langsung mengenai teknologi pertanian China.
Bagi Hii, pengalaman berkenaan turut mengetengahkan nilai perkongsian kemajuan sains menerusi kerjasama pertanian antarabangsa.
Petak ujian Hii kini secara beransur-ansur menjadi tarikan tempatan. "Ramai orang datang melawat selepas mendengar bahawa kami telah memperkenalkan varieti padi saka baharu yang dibangunkan di China," katanya.
-- BERNAMA-XINHUA