Sebanyak tujuh buah sekolah di Sabah ditutup hari ini akibat keadaan banjir yang tidak mengizinkan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mistirine Radin berkata, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sualok, SK Binsulung, SK Sungai-Sungai dan SK Tampat di Beluran, manakala di Pitas, sekolah yang terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Pitas II, SK Sosop dan SK Kusilad.

Katanya, kesemua sekolah ini mempunyai 1,989 murid dan 173 guru.

"Empat sekolah yang terletak di kawasan Terusan Sugut itu terpaksa ditutup kerana masih terdapat takungan air yang belum surut di sekitar kawasan sekolah.

"Di SMK Pitas II, laluan ke sekolah masih ada takungan air. Di SK Sosop dan SK Kusilad, jalan-jalan utama ke sekolah masih ditenggelami air," katanya.

Dua anggota bomba memindahkan seorang kanak-kanak ke tempat selamat di Taritipan, Kota Marudu, Sabah Sabtu lalu. - BERNAMA
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah, enam daerah masih terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat sejak Jumaat lalu.

Setakat ini, 15 pusat pemindahan sementara (PPS) sedang beroperasi menempatkan 2,141 mangsa banjir dari 542 keluarga.

Antara sekolah yang dijadikan PPS buat masa ini ialah SK Pamol, SK Ranau, SK Kota Marudu, SK Pekan Pitas II dan SK Pitas.

Lima buah PPS sudah ditutup di seluruh negeri.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah, Azemi Daud ketika dihubungi berkata, setakat hari ini, tiada sebarang amaran waspada dicatatkan mengenai cuaca buruk di Sabah.

Menurut tinjauan pihaknya, ramalan cuaca dalam tempoh seminggu ini menunjukkan keadaan beransur pulih.