KUCHING: Seramai 1,361 mangsa banjir daripada 351 keluarga di Sarawak masih berlindungi di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini susulan banjir yang masih melanda kawasan selatan negeri ini.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), jumlah mangsa banjir itu menurun sedikit berbanding 1,497 orang daripada 392 keluarga di 14 PPS pagi tadi.

"Tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Kuching iaitu Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru dengan 297 mangsa, diikuti dengan Dewan Masyarakat Stapok (238) dan Dewan Taman Malihah (227)," menurut laporan itu.

Sejumlah 12 PPS yang aktif berkenaan terletak di beberapa kawasan di Kuching, Bau, Serian dan Siburan.

Jawatankuasa itu turut memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Tengah, Lundu telah ditutup pada jam 8 malam ini.

-- BERNAMA