SEGAMAT: Sesi persekolahan 2023/24 yang dijadualkan bermula 19 Mac ini tidak akan ditangguhkan dan berjalan seperti biasa di negeri-negeri yang terkesan dengan bencana banjir.

Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran untuk melaksanakan kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) kepada sekolah yang terjejas teruk dan bencana itu.

Katanya, setakat ini pihaknya mengenal pasti 17 buah sekolah di Johor yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir dengan 14 daripadanya melibatkan daerah Segamat.

Bagaimanapun, katanya, KPM akan memberi perhatian khusus bagi membaik pulih kesemua sekolah berkenaan dalam tempoh dua minggu sebelum sesi persekolahan bermula.

“Saya fikir kita sedaya upaya akan melakukan persiapan pemulihan (sekolah) dan dalam masa sama kita tidak akan menangguhkan sesi persekolahan dan memberi pilihan PdPR supaya sesi persekolahan tetap berlangsung.

“Di Segamat ini sahaja ada 14 sekolah yang terjejas teruk, jadi kerja penyelenggaraan dan baik pulih termasuk menyalurkan peruntukan segera akan dilakukan yang mana menerusi pilihan (PdPR) yang diberikan sekurang-kurangkan sekolah yang tidak dapat disiapkan (pembersihan) dalam tempoh dua minggu ada pilihan untuk jalankan sesi persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali, di sini, hari ini.

SK Seri Bali merupakan antara sekolah yang terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kesemua sekolah terjejas mengalami kerosakan yang kritikal dan memerlukan beberapa fasa penilaian.

“Kalau berdasarkan (laporan) semua (kerosakan) serius dan ada sekolah yang tahap kerosakannya kritikal manakala ada yang perlu diberi tumpuan dari segi kebersihan sahaja.

“Kita bukan sahaja berdepan kerosakan teknikal sekolah sahaja tetapi juga kemusnahan aset termasuk meja guru serta juga perabot sekolah dan semua perkara ini juga mempunyai saty lagi pusingan penilaian,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, kata Fadhlina, menyedari keperitan mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerosakan barangan persekolahan termasuk pakaian, KPM memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas untuk datang ke sekolah dengan menggunakan pakaian biasa.

“Kita ada pertimbangan manusiawi dan keinsanan, jadi mereka boleh datang ke sekolah dengan pakaian apa sekali pun asalkan mereka tetap pergi ke sekolah dan memulakan sesi persekolahan seperti biasa,” jelasnya lagi.