SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengakui berlaku kelewatan dalam koordinasi antara agensi dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir pada hari pertama kejadian di Taman Sri Muda, Shah Alam Sabtu lalu.

Beliau berkata, kelewatan operasi itu adalah disebabkan kepadatan penduduk di kawasan kejadian.

Beliau menjelaskan, situasi itu berbeza dengan banjir di Pantai Timur kerana penempatan dan kepadatan penduduk di kawasan banjir yang lebih rendah.

"Saya lihat dalam insiden banjir di Shah Alam, memang koordinasi semua organisasi agak perlahan pada peringkat awal. Namun selepas hari kedua, kami telah gerakkan semua agensi.

"Di Shah Alam kebanyakan mangsa banjir tinggal di rumah teres dan pangsa yang mana kepadatan penduduknya berbeza daripada di Kelantan, Pahang dan Terengganu," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Bomba di Taman Sri Muda, Shah Alam di sini, pada Khamis.

[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir Selangor: Angka korban mencecah 24 orang - MB


[TERKINI] Sidang media Ketua Polis Negara | 23 Dis 2021

BACA: Laporan banjir kini boleh dibuat di PPS - Ketua Polis Negara

Menurut Acryl Sani lagi, proses pemindahan berlaku dengan mudah di negeri-negeri tersebut kerana faktor lokasi, penempatan dan kepadatan penduduk.

Namun begitu, beliau berkata, koordinasi semua agensi segera digerakkan sebaik mangsa banjir di Taman Sri Muda mulai meningkat.

Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani turut menzahirkan terima kasih kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk dan orang awam yang membantu mangsa banjir.

"Kami semua agensi kerajaan sangat terhutang budi kepada semua NGO dan persatuan penduduk yang aktif membantu mangsa banjir.

"Mereka adalah wira-wira yang tidak didendang, bekerja hulurkan bantuan tanpa mendabik dada. Kami sangat hargai usaha murni anda.

"Saya berharap anda akan terus membantu agensi kerajaan dalam keadaan bencana seperti ini," katanya.

Sebanyak 66,015 anggota keselamatan pelbagai agensi ditugaskan di tujuh negeri dilanda banjir iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.