Banjir Sumatera: Mangsa banjir Aceh perlukan makanan, air bersih dan pakaian - NGO

Seorang penduduk tempatan berjalan berhampiran mayat seekor gajah yang mati di kawasan yang dilanda banjir kilat maut selepas hujan lebat di Pidie Jaya, Aceh, Indonesia, 29 November 2025. - Reuters.
KUALA LUMPUR: “Mangsa banjir di Aceh kini memerlukan makanan, air bersih dan pakaian,” kata Komander Blue Sky Rescue (BSR) Malaysia, Patrick Thong, yang telah menjalankan misi bantuan perubatan sejak 29 November lalu.
Patrick yang kini berada di Lhokseumawe berkata ribuan penduduk hilang tempat tinggal sekelip mata apabila rumah mereka dihanyutkan banjir, dan komunikasi terputus selama lima hari sejak dilanda badai pada 22 November.
“Masih ramai penduduk yang terpaksa dipindahkan, kebanyakan mereka kini berlindung di masjid kerana rumah mereka sama ada musnah atau terpisah.
“Tiada bekalan elektrik, air, mahupun sambungan internet, dan ramai yang tidak dapat membersihkan diri hampir lima hari,” katanya semasa wawancara khas bersama Astro AWANI pada Rabu.

pasukan perubatan BSR terdiri daripada tiga orang doktor dan tujuh jururawat
Patrick turut menyatakan pasukan perubatan BSR terdiri daripada tiga doktor dan tujuh jururawat telah memberikan rawatan kepada kira-kira ratusan pesakit di beberapa kampung terpencil, termasuk kanak-kanak, bayi, dan warga emas.
BSR membawa kira-kira dua tan bekalan perubatan yang disumbangkan oleh syarikat amal Gomez dan diagihkan melalui pihak berkuasa di Aceh.
“Pada hari pertama kami ke kawasan Selatan Aceh dan berjaya merawat kira-kira 250 pesakit, termasuk kanak-kanak, bayi, dan warga tua.
“Hari kedua, kami ke Aceh Timur di mana terdapat ramai yang cedera parah… kami berjaya memberikan rawatan kepada kira-kira 500 orang di kawasan itu, hari ini pasukan kami berada di Selatan Aceh, jauh di kawasan pedalaman,” katanya;
Beliau turut berkongsi pengalaman tergamam apabila menjadi pasukan sukarelawan terawal yang tiba untuk menghulurkan bantuan namun beliau memuji sikap efektif pihak berkuasa di Aceh dalam mengagihkan bantuan.
“Yang agak mengejutkan kami sebenarnya, pasukan kami merupakan antara yang pertama tiba di kawasan itu (bencana), sedangkan sebelum ini kami menyangka sudah ada ramai pasukan bantuan antarabangsa di sana,” katanya.
Menurut Patrick, keadaan banjir di Aceh masih kritikal, dan pihak BSR menekankan perlunya bantuan segera termasuk makanan, air bersih dan pakaian untuk penduduk yang terjejas.
Agensi Bencana Indonesia pada Rabu melaporkan, jumlah korban banjir dan tanah runtuh di Pulau Sumatera kini melebihi 800 orang, dengan lebih 650 lagi hilang.
“Jumlah kematian kini mencecah 804 orang, manakala lebih 570,000 penduduk di tiga wilayah terjejas terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan,” menurut kenyataan rasmi agensi itu.
Bencana yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat turut menyebabkan 507 orang masih hilang, lebih 2,500 cedera, dan 3.3 juta penduduk terjejas.
Mengikut pecahan wilayah, Aceh mencatat 218 kematian, Sumatera Utara 301, manakala Sumatera Barat 193.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


