Skip to main content

Malaysia

PBT Pulau Pinang guna kamera badan laksana perintah khidmat masyarakat

GEORGE TOWN, 19 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye (kiri) menunjukkan kamera badan yang dipasang pada penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) hari ini berhubung operasi penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).   -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye (kiri) menunjukkan kamera badan yang dipasang pada penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) hari ini berhubung operasi penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM). - Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Pulau Pinang memperkukuh usaha membanteras sikap membuang sampah kecil di tempat awam dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal menggunakan rakaman kamera badan, video dan gambar sebagai bahan bukti dalam melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), mulai 1 Julai ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata pendekatan itu akan digunakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menjalankan penguatkuasaan lebih telus, berkesan dan tersusun.

"Bagi memastikan pelaksanaan seragam dan teratur, kerajaan negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (BKT PSUKPP), MBPP dan MBSP telah menyelaras garis panduan pelaksanaan PKM merangkumi aspek penguatkuasaan, pemantauan dan pelaksanaan khidmat masyarakat. 

“Ketika ini MBPP mempunyai 170 kamera manakala MBSP sebanyak 17 kamera. Kita dalam proses untuk menambahkan lagi kamera badan yang setiap satunya berharga RM1,000.

“Selain itu, pemantauan penguatkuasaan menerusi 1,822 kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di seluruh negeri juga dilakukan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.

Terdahulu, Pulau Pinang mengumumkan telah mengenal pasti beberapa aktiviti bersesuaian terhadap pesalah membuang sampah kecil di tempat awam, yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai ini.

H'ng dilaporkan berkata antaranya melaksanakan kerja pembersihan seperti mengutip, menyapu, mencuci, mengemop, mengecat serta mengumpul sisa pepejal di kawasan awam tertentu seperti jalan awam, pasar awam, pasar tani, pasar pagi atau pasar malam, longkang awam dan pantai awam.

Mengulas lanjut, H'ng berkata individu yang disabitkan kesalahan juga akan dikenakan denda maksimum RM2,000 atau boleh diperintahkan menjalani PKM dengan maksimum 12 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Beliau berkata kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Hukuman tersebut bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya memberi pendidikan secara langsung kepada pesalah agar lebih memahami kepentingan menjaga kebersihan awam dan tanggungjawab sivik terhadap persekitaran," katanya.

Sementara itu, H'ng berkata Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pulau Pinang menafikan dakwaan dalam catatan Facebook yang menuduh mereka gagal membantu semasa kecemasan dan menyalahgunakan sumbangan awam seperti dakwaan yang disiarkan oleh seorang pengguna laman sosial itu.

Katanya dakwaan itu mencemarkan imej dan reputasi pasukan bomba sukarela di negeri berkenaan.

Beliau berkata wakil daripada 38 PBS negeri itu telah mendapatkan bantuannya untuk menjelaskan perkara tersebut dan laporan polis berhubung tomahan tersebut juga dibuat wakil PBS semalam.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement