KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan dalam penggunaan elektrik dan gas semasa musim banjir yang melanda negara ketika ini.

ST dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan banjir boleh mengakibatkan pelbagai risiko antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.

Justeru, suruhanjaya itu berkongsi beberapa langkah pengawasan yang boleh diambil bagi memastikan keselamatan elektrik dan gas terutamanya sebelum, semasa dan selepas banjir.

"Sekiranya diarah berpindah, pastikan perkara berikut dilaksanakan antaranya simpan kelengkapan elektrik di tempat tinggi dan selamat daripada ditenggelami air dan matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.

"Selain itu, matikan pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan daripada suis utama seperti solar fotovoltaik (PV) atau pagar elektrik dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, menurut kenyataan itu orang ramai juga perlu mengelak daripada melalui kawasan yang mempunyai talian atau pepasangan elektrik seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air, serta mengelak daripada memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengalih tiang elektrik yang tumbang atau talian elektrik putus, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak utiliti elektrik.

Menurut ST bagi memastikan keselamatan penggunaan elektrik dan gas selepas banjir, suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas hendaklah dimatikan sebelum kerja pembersihan dimulakan.

"Sebelum menghidupkan suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering selain sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan dengan talian, struktur pepasangan elektrik serta saluran gas berpaip.

"Elak menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya. Sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip berkenaan, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST," menurut kenyataan itu.

ST juga menasihatkan agar orang ramai menyimpan nombor telefon pejabat kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital dan syarikat utiliti berdekatan serta memastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan.

Orang ramai boleh menghubungi ST bagi pertanyaan lanjut melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected] atau melayari laman sesawang www.st.gov.my.

-- BERNAMA