Jumlah mangsa banjir negeri ini meningkat kepada 2,159 orang daripada 541 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,364 orang daripada 340 keluarga malam tadi.

Terdapat 17 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di dua daerah di Terengganu, iaitu Kemaman dan Dungun, ketika ini.

Kemaman merekodkan 1,819 mangsa dari 427 keluarga di 15 PPS.

Dua PPS yang baharu diaktifkan adalah Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman dengan 286 mangsa membabitkan 79 keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman yang menempatkan 195 mangsa dari 51 keluarga.

PPS SK Bukit Mentok masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 627 mangsa dari 131 mangsa berada di pusat berkenaan.

Sementara itu, Dungun kekal dengan 206 mangsa melibatkan 77 keluarga di dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Pasir Raja.

Sementara itu, Bernama melaporkan, pertembungan air pasang besar dengan air sungai yang terlalu banyak di kawasan Kuala Kemaman malam semalam, menyebabkan jumlah mangsa banjir di daerah itu terus meningkat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata walaupun hujan lebat sudah lama berhenti, kesan daripada pengumpulan hujan lebat di kawasan pedalaman hulu itu menyebabkan aliran sungai ke Kuala Kemaman tidak boleh masuk ke laut kerana bertembung air pasang besar malam tadi.

"Ia menyebabkan banyak kawasan rendah di Chukai muka dinaiki air pada awal pagi tadi," katanya sambil menambah, pertambahan mangsa turut berlaku di SK Binjai (84 orang - 17 keluarga) dan SK Chukai (159 orang - 40 keluarga).

PPS lain kekal tidak berubah iaitu Surau Pulau Tempurung menempatkan (105 orang - 18 keluarga), Masjid Kampung Batu 14 (13 orang - empat keluarga), Masjid Kampung Batu 16 Tebak (50 orang - 14 keluarga) Dewan Sivik Felda Seberang Tayor (226 orang - 60 keluarga), Dewan Orang Ramai Teladas terdapat 23 orang (empat keluarga) dan Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (59 orang - 17 keluarga).

Jumlah mangsa juga kekal di Bangunan Pusat Pemindahan Lubuk Megat (23 orang - empat keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (26 orang - lima keluarga), Kampung Pasir Gajah (12 orang - empat keluarga) dan Dewan Orang Ramai Batu 14 (65 orang - 16 keluarga).