KUALA TERENGGANU: Sebanyak 34 sekolah membabitkan enam daerah di Terengganu terpaksa ditutup pada Rabu kerana dinaiki air dan sebahagian dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman @ Abdullah berkata, sebanyak sembilan sekolah ditutup kerana terlibat banjir, manakala 25 sekolah dijadikan PPS.

Katanya, empat sekolah terlibat banjir di Kuala Terengganu ialah SK Seri Budiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik, SK Kampung Bukit Chendering dan SK Tok Dir.

Selain itu, katanya, empat sekolah ditutup di daerah Kuala Nerus melibatkan SMK Padang Kemunting, SK Padang Kemunting, SMK Kompleks Mengabang Telipot dan Sekolah Sukan Malaysia, sementara sebuah sekolah di Setiu iaitu SK Kampung Besut.

"Bagi sekolah yang dijadikan PPS ialah SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang, SK Sungai Rengas Bekah dan SK Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu.

"Di Kuala Nerus pula, terdapat penambahan lima lagi sekolah yang dijadikan PPS dengan jumlah keseluruhan sekolah yang ditutup ialah sembilan iaitu SK Gong Badak, SK Tok Jiring, SK Padang Air, SK Kompleks Gong Badak, SK Seberang Takir, SK Bukit Tunggal, SK Bukit Nanas, SK Teluk Ketapang dan SK Tol Jembal.

"Bagi daerah Marang pula berlaku pertambahan kepada tujuh sekolah yang dijadikan PPS iaitu SK Bukit Gasing, SK Rusila, SK Marang, SK Simpang Rawai, SMK Merchang, SMK Seberang Marang dan SMK Seri Payong," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.

Bagi daerah Besut pula, terdapat tiga sekolah yang ditutup kerana dijadikan PPS iaitu SK Kuala Besut, SK Kampung Nail dan SK Kampung Baharu, manakala di daerah Dungun, hanya satu sekolah terlibat iaitu SK Tok Kah.

Sementara itu, katanya, JPNT mengesyorkan sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir agar mengambil cuti bencana.

Jelas beliau, ia termasuk sekolah yang dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang ramai serta menggunakan banyak bilik darjah.

"Kita sentiasa memantau perkembangan terkini situasi banjir di Terengganu terutama sekolah-sekolah yang terletak di kawasan berisiko agar keselamatan murid dan warga sekolah diberi keutamaan," ujarnya. - Sinar Harian