KUALA TERENGGANU: Prihatin dengan nasib yang menimpa ribuan mangsa banjir di Pahang, lebih 1,000 sukarelawan dari Terengganu mula digerakkan bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata  Sukarelawan Khidmat Malaysia Negeri Terengganu itu akan berbakti selama tiga hari di negeri jiran bermula hari ini hingga Sabtu depan.

Katanya misi bantuan itu akan memberi tumpuan kepada bantuan dapur rakyat, kerja-kerja pembersihan rumah serta menyalurkan bantuan termasuk keperluan ibadah, diri dan keperluan kesihatan.

"Sebaik sahaja tiba di sana, kita akan buka dapur kita dan memasak untuk mangsa-mangsa banjir di sana.

"Setiap satu daerah ataupun kawasan kita menganggarkan sumbang untuk 2,000 mangsa banjir jadi kalau lapan kawasan hampir 16,000 orang, insyaAllah, mangsa banjir yang kita dapat bekalkan makanan pada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelepasan bantuan kemanusian mangsa banjir ke Pahang di Kuala Terengganu pada Khamis.

Menurut Wan Sukairi lagi, sukarelawan itu akan membantu mangsa banjir yang terjejas di daerah Kuantan dan juga Temerloh.

Bagaimanapun misi bantuan ke Temerloh
ditangguhkan pada hari ini susulan keadaan yang tidak mengizinkan kerana terdapat laluan yang masih digenangi air.

Jelas Wan Sukairi, namun sukarelawan itu dijangka akan meneruskan misi mereka pada Sabtu ini bergantung kepada keadaan semasa.