KOTA BHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat tambahan penutupan bekalan elektrik di 40 lokasi di sekitar Pasir Mas setakat 10 pagi tadi.

TNB dalam kenyataan di laman Facebooknya turut memaklumkan langkah itu dilaksanakan berikutan keadaan hujan lebat dan banjir di sekitar lokasi terbabit.

"Penutupan bekalan oleh TNB demi keselamatan pengguna setempat kawasan terlibat. Ia membabitkan Sekolah Menengah Ugama Al Falah, Booster Jeram Perdah, Balai Polis Jeram Perdah, Bongor, Bukit Lata, Taman Gemilang, Pengkalan Rakit, Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh, Terusan, Bakat 2 dan Pusat Penyembelihan GP," menurut kenyataan itu.

Menurut TNB lokasi lain yang turut terlibat ialah Merbau Serongga, Serongga, Gual Pinang, Kuin Merah, Gual Nering, JPS Bendang Guchil, Sekolah Kebangsaan Gial Sitok, Gual Sitok, Kebakat, Gual Petai Beruk, Gual Bunut, Kubang Kual, Kusar, Gertak Nombor 3, Taman Rantau Jaya dan Kuarters Kastam.

Turut terlibat ialah Telekom Rantau Panjang, Zainab Ramli, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 1 dan 2, Unit Pencegahan Penyeludupan Rantau Panjang, Tasek Permai, Kedap, Kompleks Imigresen, Bandar Rantau Panjang, Gual Tokdeh, Loji Air Rantau Panjang, Kastam Rantau Panjang, Taman Desa Wira Jaya 2 - 3, Prima Lubok Jong 1 - 3 dan Taman Desa Wira.

TNB turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghidupkan peralatan elektrik sekiranya palam atau soket alir keluar berada dalam keadaan basah atau dilitupi air serta kekotoran banjir.

"Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus," katanya.

-- BERNAMA