KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada 3.9 peratus pada 2023 daripada unjuran 4.3 peratus pada April tahun ini di tengah-tengah penyusutan permintaan luar, demikian menurut Bank Dunia.  

Bagaimanapun, permintaan domestik dijangka terus menyokong daya tahan ekonomi Malaysia tahun ini manakala ruang fiskal yang terhad kekal menjadi cabaran utama kepada negara, kata ketua ekonomi Bank Dunia Apurva Sanghi.

“Pertumbuhan bagi tahun ini sebenarnya 0.4 mata peratus lebih rendah daripada unjuran kami sebelum ini disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak mengejutkan -- pertumbuhan global yang lebih rendah dan permintaan luar yang lemah pada tahun ini.

“Ia dapat dilihat daripada angka eksport Malaysia, yang menguncup sebanyak 3.3 peratus (pada suku pertama) dan 9.4 peratus (pada suku kedua) tahun ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman Kemas Kini Oktober Ekonomi Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2023 dan bahagian pertama Malaysia Economic Monitor (MEM) bagi bulan September 2023, di sini, hari ini.

Apurva berkata ekonomi Malaysia sensitif terhadap perubahan permintaan luar, terutamanya berkaitan rakan dagang terbesar negara, iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

Bank Dunia menganggarkan bahawa penurunan satu mata peratusan dalam kadar pertumbuhan AS boleh mengurangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 0.82 mata peratusan, dan penurunan 1.0 mata peratusan dalam kadar pertumbuhan KDNK China boleh menyeret turun KDNK Malaysia sebanyak 0.45 mata peratusan.

“Bukan hanya faktor luaran yang mempengaruhi pertumbuhan Malaysia tetapi juga faktor domestik, termasuk kesan asas daripada pertumbuhan tinggi tahun lepas dan keadaan cuaca yang ekstrem.

"Keadaan cuaca panas telah menjejaskan pengeluaran pertanian pada awal tahun ini. Ia memberi implikasi, dan perlu diingat bahawa kebanyakan pengeluaran beras tertumpu di bahagian wilayah utara Malaysia.

"Keadaan cuaca ekstrem boleh memberi kesan yang tidak seimbang kepada pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya.

Walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia telah melepasi paras sebelum pandemik, Apurva berkata kadar kemiskinan mutlak di Malaysia berada pada 6.2 peratus dan masih tinggi daripada kadar kemiskinan sebelum pandemik sebanyak 5.6 peratus.

“Tidak semua isi rumah mengalami pemulihan yang seragam. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah melepasi paras sebelum pandemik, tetapi hampir setengah juta isi rumah kekal berada di bawah garis kemiskinan.

"Manfaat pertumbuhan tidak tersebar sepenuhnya kerana kira-kira setengah juta isi rumah kekal di bawah garis kemiskinan," katanya.

Menurutnya Bank Dunia, kira-kira 490,000 isi rumah Malaysia masih terdedah dan bergelut dengan kesan COVID-19, justeru negara perlu menekankan kepentingan program perlindungan sosial yang berkesan dan disasarkan dengan baik.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang kepada 4.3 peratus pada 2024, katanya.
 

Industri Semikonduktor, FDI dan ringgit
 

Apurva berkata sektor semikonduktor Malaysia merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi kerana sektor itu membentuk lebih separuh daripada jumlah eksport industri elektrik dan elektronik dan 22 peratus daripada jumlah eksport negara.

“Apa yang kami dapati ialah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China telah meningkatkan eksport semikonduktor ke China dan juga AS.

“Menariknya, ketegangan perdagangan itu juga telah meningkatkan import semikonduktor Malaysia dari China, tetapi ini boleh menjadi faktor risiko pada masa hadapan jika sekatan AS mengganggu bekalan China dan seterusnya memberi kesan kepada keupayaan Malaysia untuk mengeluarkan lebih banyak produk semikonduktor berkaitan hiliran,” katanya.

Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), Apurva berkata nisbah pelaburan Malaysia berbanding KDNK secara konsisten menurun sejak Krisis Kewangan Asia daripada paras tertinggi melebihi 40 peratus daripada KDNK kepada di bawah 20 peratus pada hari ini.

“Kami percaya Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 akan memberi dorongan baharu kepada FDI dan pelaburan langsung domestik, tetapi terdapat juga keperluan untuk meliberalisasikan perkhidmatan, yang akan membantu NIMP 2030 mencapai objektifnya,” katanya.

Apurva juga menggesa Malaysia mengurangkan jurang tenaga kerjanya untuk terus menarik aliran masuk FDI.

Mengenai ringgit, pakar ekonomi itu berkata mata wang tempatan menyusut sebanyak 15 peratus berbanding dolar AS dari Januari 2021 hingga Jun 2023. 

Beliau berkata tiga penyebab utama kejatuhan nilai ringgit ialah harga minyak, perbezaan kadar faedah dan kedudukan pelaburan antarabangsa.

“Antara tiga faktor itu, pengetatan Dasar Monetari AS adalah pemacu nombor satu yang membawa kepada penurunan nilai ringgit,” katanya.