Seramai 28 individu yang menyertai perhimpunan Duduk dan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Pejabat Kastam, Kelana Jaya semalam ditahan reman selama dua hari.

Muhammad Zaki Sukery, 29, Peguam Jabatan Undang-Undang Hak Asasi Malaysia (JUHAM) berkata, daripada 29 yang ditahan hanya aktivis Khalid Ismath dibebaskan kira-kira jam 11 pagi tadi.

"Khalid dibebaskan daripada tahanan reman atas sebab unlawfully detention di mana dia sudah ditahan polis selama 24 jam.

"Bagi mereka yang ditahan, mereka akan dibebaskan dari reman pada jam 5 petang dan 11 malam esok."

Khalid Ismath merupakan antara empat individu yang ditahan di Balai Polis Kelana Jaya kerana terlibat secara tidak langsung dengan perhimpunan itu semalam.

Manakala 25 lagi ditahan semalam kerana didakwa terlibat secara langsung dengan perhimpunan yang diadakan di Pejabat Kastam Kelana Jaya itu.

Individu yang ditahan reman termasuklah ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli dan ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar.

Sebelum itu, Peguam Dinesh Muthal, 29 berkata mereka kemungkinan ditahan reman di bawah siasatan Seksyen 143 , 353, 186 Kanun Keseksaan.

Bantah GST
Hamidah Rahman, ibu kepada salah seorang tahanan reman Yazit Khairul Azman yang terlibat dalam satu perhimpunan di Pejabat Kastam Kelana Jaya semalam, menangis di hadapan Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Keadaan di hadapan Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor semakin lenggang setakat jam 2.24 petang apabila jumlah peserta solidariti 28 tahanan itu kelihatan semakin berkurangan.

Semalam, penyerahan Memorandum oleh Gabungan Bantah Cukai GST di Pejabat Kastam di Kelana Jaya menjadi kecoh selepas pertengkaran berlaku di antara pihak polis dan sekretariat Bantah GST.