KUALA LUMPUR: Perhimpunan membantah kenaikan harga barang yang diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara pada Sabtu antara lain mengemukakan lima tuntutan oleh Gerakan Mahasiswa terhadap kerajaan bagi menangani isu kenaikan harga barang.

Menurut wakilnya yang juga Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Aliff Naif Mohd Fizam, 24, lima tuntutan itu  ialah memotong gaji Menteri dan Timbalan Menteri, mengawal harga barang, mengekalkan subsidi dan menyelesaikan isu jaminan makanan.

"Hari ini kita berkumpul nak menyatakan lima tuntutan, dan tuntutan ini kita dah nyatakan sewaktu speaker corner di Pasar Seni.

"Hari ini kita bawa tuntutan yang sama, pertamanya kita menuntut potong gaji Menteri, kita tuntut kawal harga barang, kita tuntut kekal subsidi, kita tuntut selesaikan masalah jaminan makanan dan kawal harga barang.

"Itu lima tuntutan yang kita nyatakan kita buat hari itu sampai hari ini," katanya ketika ditemui media pada perhimpunan yang disertai kira-kira 250 mahasiswa dan wakil parti politik itu.

Tambah Aliff, perhimpunan itu turut menuntut agar gaji Duta Khas bertaraf Menteri turut dipotong bagi menangani isu itu.

"Sebab ini kami lihat di Parlimen dinyatakan bahawa empat orang Duta Khas bertaraf Menteri memakan belanja hampir RM1 juta.

"Yang mana RM1 juta itu untuk lawatan rasmi dalam dan luar negara, tidak termasuk elaun dan gaji mereka.

"Ini sedikit sebanyak membuat kami terkilan daripada pihak mahasiswa dan rakyat memang kami terkilan, dimana kami terpaksa hidup susah, terpaksa mencatu makanan," katanya lagi.

Perhimpunan yang berlangsung tepat jam 2.00 petang itu berakhir sejam kemudian.

Turut kelihatan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkawal di sekitar kawasan perhimpunan dan menghalang peserta daripada berarak ke Dataran Merdeka.