MALAYSIA
Banteras pembakaran terbuka: JAS lakukan 4,247 rondaan, terbang 859 dron

Wan Abdul Latiff bercakap kepada media pada sesi libat urus Ketua Pengarah Alam Sekitar Suara dan Cerita Kita (e-Waste dan Jerebu) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,247 rondaan darat dan 859 penerbangan dron dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengesan dan membanteras kegiatan pembakaran terbuka yang menjadi punca utama jerebu.
Ringkasan AI
- Pemantauan intensif: 4,247 rondaan darat dan 859 penerbangan dron dilaksanakan untuk kesan pembakaran terbuka.
- Tindakan penguatkuasaan: 58 notis arahan, 27 tindakan mahkamah dan 59 kompaun dikenakan terhadap pelaku pencemaran.
- Komitmen serantau ASEAN: Malaysia aktif dalam Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan untuk selaras tindakan bersama negara jiran.
"JAS sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melalui 68 stesen pemantauan di seluruh negara setiap jam bagi tempoh 24 jam setiap hari melalui Pusat Data Kualiti Alam Sekitar (EDC) yang berpusat di Putrajaya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus Ketua Pengarah Alam Sekitar Suara dan Cerita Kita (e-Waste dan Jerebu) di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, maklumat daripada stesen pemantauan udara yang beroperasi 24 jam ini digunakan untuk menentukan status Indeks Pencemar Udara (IPU) serta memberi amaran awal kepada orang awam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di peringkat serantau, Malaysia komited dalam kerjasama menerusi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi menyelaras tindakan bersama negara jiran.
"ASEAN dalam menangani jerebu, setiap negara memberi komitmen yang cukup tinggi untuk pastikan tidak berlaku pembakaran terbuka di negara masing-masing, dan sekiranya ada. Mereka akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang domestik masing-masing.
"JAS turut memperkukuh tindakan tempatan melalui perwakilan kuasa kepada 13 agensi penguat kuasa lain yang diwartakan pada 7 Julai lalu dan berkuat kuasa 8 Julai 2025.
"Langkah strategik ini membolehkan tindakan segera dan bersepadu dilaksanakan di lapangan oleh agensi berkaitan tanpa perlu menunggu kelulusan pusat," katanya.
Beliau berkata, sebagai persediaan lebih menyeluruh, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga diaktifkan sejak 26 Februari lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami