KUALA LUMPUR: Bantuan Banjir Keluarga Malaysia mencerminkan usaha kerajaan mengimbangi antara keperluan mendesak semasa, dan tanggungjawab memelihara masa depan rakyat serta negara.

Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan berkata bantuan yang disenaraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jelas memberi alternatif kepada cadangan lain kepada usaha-usaha yang telah diumumkan sebelum ini.

Katanya lagi, sebelum ini juga timbul kekhuatiran berkenaan tawaran seperti pinjaman daripada TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN), walaupun pada kadar sifar faedah dan moratorium automatik, akan menambah hutang mangsa banjir.

BACA: Anda mangsa banjir? Ini Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang diumumkan PM

"Ternyata pandangan ini telah diambil kira dan kali ini, sebagai tambahan, kerajaan tampil dengan bantuan-bantuan berbentuk suntikan perbelanjaan daripada kerajaan, bukannya simpanan pencarum sendiri.

"Jumlah bantuan tunai dan baucar tunai kepada mangsa banjir juga mencecah RM10,000. Malah, amaun lebih besar daripada itu jika malangnya ada kerosakan kediaman yang serius atau kemusnahan kediaman.

"Ini menjadikan jumlah bantuan langsung daripada kerajaan kepada sesebuah isi rumah yang terkesan boleh bernilai sehingga sebanyak RM61,000," katanya dalam kenyataan di laman Facebook, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Penerangan UMNO itu berkata, bantuan yang diumumkan juga bersifat holistik dengan meliputi semua mangsa banjir.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Ia termasuk membabitkan bukan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) dan pencaruman yang telah mengeluarkan caruman melalui tiga skim.

Katanya lagi, segala perancangan yang ditekankan semula oleh Perdana Menteri adalah berkenaan keutamaan tahun 2022 sebagai tahun merancakkan kembali ekonomi makro dan ekonomi rakyat.

"Mudah-mudahan, penularan varian Omicron juga dapat diurus supaya merealisasikan harapan kebangkitan ekonomi dunia dan khususnya negara Malaysia pada tahun 2022.

"Tidak dinafikan, timbul keresahan akibat angka-angka penularan dan kebolehjangkitan tinggi yang disaksikan di negara lain sehingga melepasi rekod-rekod sebelum ini. Misalnya, Amerika Syarikat (589,000 kes harian baru), Perancis (206,000) dan United Kingdom (188,000).

"Namun, kita juga wajar mengambil maklum petanda awal dari negara lain turut menggambarkan bahawa varian ini mungkin tidak "seganas" varian lain, dengan kadar kemasukan hospital dan kematian lebih rendah daripada sebelumnya," ujarnya lagi.

Malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan lima insentif pemberian tunai yang keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR), malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu alami kemusnahan rumah.

Inisiatif tersebut bagi meringankan beban golongan terbabit akibat banjir.