IPOH: Bantuan bencana seperti kebakaran, banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang menghempap rumah, boleh dikembangkan mengikut bilangan ketua keluarga dalam sesebuah rumah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, ia berdasarkan kepada pendaftaran oleh penghulu setempat.

“Bantuan untuk bencana boleh dikembangkan ikut ketua isi rumah dalam rumah berkenaan, berdasarkan kepada yang didaftar oleh penghulu setempat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Aminuddin Zulkipli (Amanah - Behrang) pada persidangan Dewan Negeri di sini, hari ini.

Menteri Besar bagaimanapun menjelaskan, bantuan baik pulih rumah hanya sekali sahaja kerana rumah yang terlibat hanya sebuah, walaupun ia didiami oleh beberapa keluarga.

Menjawab soalan tambahan Mohd Zaidi Aziz (BN- Slim), beliau berkata, pada masa ini, kerajaan negeri melalui Akaun Amanah Tabung Bencana Dan Bantuan Sosial Negeri Perak memperuntukkan bantuan RM300 kepada setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan bencana.

Tambahnya, keluarga yang tidak berpindah atau berpindah ke lokasi selain dari pusat pemindahan, juga layak menerima bantuan pada kadar sama.

Bagaimanapun, kata beliau, ia dengan syarat ketua keluarga perlu didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah mendapat pengesahan Penghulu Mukim dan mendapat kelulusan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) atau Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Negeri (JPBBN).

“Bagi kediaman yang musnah atau rosak akibat bencana, Kerajaan Negeri memberikan bantuan RM2,000 bagi rumah yang musnah keseluruhannya, RM500 hingga RM800 bagi kerosakan kemudahan asas rumah, dan RM200 bagi kerosakan perkakasan rumah,” ujarnya.

Saarani berkata, bantuan itu diberikan setelah mendapat pengesahan Penghulu Mukim dan mendapat kelulusan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) atau Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Negeri (JPBBN).

Menjawab soalan tambahan Yahaya Mat Nor (Amanah - Pasir Panjang), beliau memberitahu, orang ramai boleh memohon peruntukan daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya mahu menebang pokok yang merbahaya di kawasan rumah mereka.