KUALA LUMPUR: Ada sebab mengapa subsidi diberikan kepada pendeposit Tabung Haji (TH) biarpun ia menyebabkan penanggungan kos yang agak tinggi oleh TH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata biarpun ada pihak yang mempersoalkan kewajaran perkara itu, ia sebenarnya mencerminkan dinamik TH sebagai sebuah badan yang menguruskan simpanan dan urusan haji pendeposit.

"Inilah dinamik pengurusan TH yang tidak ada di negara lain. Tabung konsepnya ada orang simpan duit untuk dapatkan pulangan, kedua ada zakat, ketiga perniagaan yang sah dari segi Islam dan keempat simpanan mereka dijamin kerajaan.

"Dalam data pada 31 Mac 2022 ada 604, 542 sudah pergi haji tetapi masih simpan duit di TH. Seramai 7.1 juta pendeposit yang ada simpanan RM10,000 ke atas dan manakala yang ada simpanan RM1 juta ialah seramai 4,761.

"Tabung Haji uruskan soal orang nak pergi haji, kita tidak panggil subsidi, kita panggil bantuan haji. Inilah dinamik yang saya maksudkan, bantuan ini diberikan bukan oleh kerajaan tetapi oleh keuntungan hasil daripada portfolio perniagaan, pelaburan sama ada hartanah, perladangan dan pelaburan dalam ekuiti, dan keuntungan ini membolehkan kita memberi bantuan kira-kira RM300 hingga RM400 juta setahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu dalam program Agenda AWANI berjudul Khabar Dari Mekah Menjelang Syawal, yang bersiaran pada Jumaat.

Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima, dan peratusan yang sama terpakai kepada semua negara.

Namun Idris memaklumkan kerajaan akan merayu kuota jemaah haji ditambah melalui Kedutaan Arab Saudi, dalam masa terdekat.

Jelasnya lagi, TH juga mengambil pendekatan wasatiyah dalam memberi bantuan yang saksama untuk pendeposit dari pelbagai golongan, namun mereka yang mempunyai kemampuan boleh memilih untuk tidak menerima bantuan yang ditawarkan.

Agenda AWANI: Khabar dari Mekah menjelang Syawal