DUNGUN: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukan RM300,000 melalui bantuan khas input pertanian kepada kira kira 500 pengusaha tanaman lada berdaftar di negeri itu.

Bantuan  berkenaan adalah sebagai suntikan modal kepada pengusaha untuk projek tanaman semula berikutan kejatuhan harga pasaran lada.

Menurut pengusaha, kekurangan permintaan tempatan dan pasaran luar Terengganu mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kerugian.

Petani Khairulnizam Che Wan Ahmad berkata, bantuan tersebut dapat membantu terutama mereka yang baru menceburi pengusahaan itu.

"Sekurang-kurangnya dapat membantu terutamanya petani yang baru nak mula.

"Walaupun tidak banyak, boleh bantu sedikit sebanyak, mungkin beli input barang dan modal untuk barangan lain," katanya.

Seorang lagi petani, Mohd Fadzli Hassan menjelaskan, permintaan untuk lada itu ada tetapi dalam jumlah yang sedikit.

"Permintaan itu ada cuma, contohnya seorang peraih hanya mahu dalam 10 beg sahaja jadi yang selebihnya kita terpaksa buang.

"Kalau perkara ini berlanjutan memang tidak boleh diteruskan kerana kami telah keluarkan modal namun tidak dapat keuntungan," katanya.

Harga borong pasaran cili antara RM5.50 hingga RM6 sebelum ini menjunam kepada rm1.50 sekilogram sejak dua bulan lalu mengakibatkan pendapatan mereka terjejas teruk.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim mengumumkan bantuan khas input pertanian dan maklumat penerima bantuan akan diperolehi menerusi data Jabatan Pertanian Terengganu.