Kontroversi bayaran skim Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bernilai RM600 yang diterima Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau telah menjadi tular di laman media sosial sejak semalam.

Bagaimanapun, selepas menjadi ‘mangsa’ kritikan bertali arus, Ahli Parlimen Tuaran itu tampil memberikan penjelasan.

Madius berkata, bantuan tersebut tidak pernah digunakan untuk tujuan peribadi tetapi diserahkan kepada sepupunya yang menguruskan empat hektar kebun getah miliknya di Tuaran.

“Saya pun ucap terima kasih kerana adanya skim ini, tetapi kesemua yang kami terima (bantuan) itu, akan diberikan kepada sepupu saya.

“Malah, saya sendiri memberi elaun kepada sepupu saya untuk jaga kebun setiap bulan sebenarnya,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu, isu Madius menerima BMT menjadi tular selepas namanya termasuk dalam senarai yang didedahkan kepada umum sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan orang ramai terutamanya pengguna media sosial.

Beliau dalam masa yang sama turut menjelaskan, pihaknya tidak pernah mengambil kesempatan daripada skim BMT seperti mana yang ditularkan.

“Saya ingin memberi penjelasan kerana banyak yang keliru tentang dasar ini. Dan juga, melibatkan saya. Seolah-olah kita ambil kesempatan daripada skim ini.

“Walaupun hanya melibatkan RM600. Jadi, inilah penjelasan saya. Saya berharap ini dapat menjelaskan lagi keadaan yang sudah viral,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau yang juga Menteri Perdagangan Dan Perindustrian Negeri Sabah berkata, lawatan kerja pihaknya di Jepun bakal membawa hasil pelaburan ke negeri ini dalam tempoh terdekat.

Beliau yang turut serta dalam rombongan kerajaan negeri diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu berkata, setakat ini, beberapa syarikat di Jepun sudah menunjukkan minat serius untuk membuat pelaburan industri, terutamanya di kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu.