KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah kembali ke masa lampau untuk mengenal pasti langkah terbaik untuk menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir berkata, kewujudan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Bantut dalam Kalangan Kanak-kanak 2022-2030 yang diluluskan kerajaan baru-baru ini merupakan satu langkah yang baik, namun, pelaksanaannya bukan perkara mudah.

Katanya, apa yang harus dilakukan kini adalah mencari jalan untuk memahami situasi dan persekitaran kanak-kanak ini yang kebanyakannya berasal dari keluarga tidak berkemampuan.

"Saya tidak pasti sejak bila kita tergelincir daripada landasan. Kalau diikutkan kita ada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah tetapi isu ini lebih serius kerana belum masuk sekolah pun mereka sudah tak dapat susu dan makanan berkhasiat.

"RMT bermula masa umur 7 tahun, bermakna mereka bantut sebelum masuk sekolah. Kerana itu kita kena patah balik, lihat 1,000 hari pertama mereka.

"Kerajaan kena lihat  cara, macam mana mereka boleh 'masuk' dalam keluarga kurang berkemampuan ini, bagaimana mereka boleh bantu pada tiga tahun pertama atau lima tahun pertama," katanya ketika diwawancara dalam Buletin AWANI pada Ahad.

Tambahnya, penyelesaian dalam kadar segera diperlukan, antaranya melihat semula faktor harga susu formula di pasaran yang begitu tinggi sehingga menyukarkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan sumber nutrien sihat untuk anak-anak mereka.

"Jawatankuasa harus kaji balik kenapa kita benarkan pasaran yang menentukan harga susu formula. Kita berada di ambang krisis, daripada 17 peratus kes bantut sekarang naik kepada 21 peratus. Ia jumlah yang besar.

"Jadi harus ada mekanisme untuk semak dan imbang semula harga harga susu formula, letakkan harga harga yang berpatutan.

"Satu lagi cara lain ialah pemberian baucer kepada keluarga-keluarga ini sebab kita tahu anak-anak ini lahir di hospital kerajaan, kerajaan tahu mereka datang dari golongan dan kumpulan mana, boleh diberikan baucer atau kad dari Kementerian Kesihatan bagi membolehkan mereka datang ke ke hospital untuk mengambil susu,"jelasnya.

Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia dalam mesyuarat pertamanya baru-baru ini, meluluskan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Bantut dalam Kalangan Kanak-kanak 2022-2030.

Jawatankuasa khas itu dianggotai Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengkaji penyebab peningkatan kadar bantut yang tinggi melibatkan faktor pemakanan, persekitaran dan kemudahan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak mencatatkan peningkatan dari 17 peratus pada 2015 kepada 21.8 peratus pada 2019.

Bantut | Tangani isu harga susu formula