Banjir di Kedah, Perak beransur pulih, jumlah mangsa berkurangan

Situasi banjir di Kedah dan Perak menunjukkan perkembangan positif, apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 1,518 orang petang ini, berbanding 2,410 orang pagi tadi. - Gambar fail/APM
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kedah dan Perak menunjukkan perkembangan positif, apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 1,518 orang petang ini, berbanding 2,410 orang pagi tadi.
Di KEDAH, sebanyak 915 mangsa banjir masih berlindung di lima PPS setakat 5 petang ini, berbanding 1,281 orang daripada 372 keluarga pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan di Pendang, sebanyak 411 orang daripada 106 keluarga berlindung di dua PPS, iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Puteh manakala di Kota Setar, sebanyak 228 orang daripada 66 keluarga ditempatkan di SK Taman Aman.
Sementara di Kulim, sebanyak 151 orang daripada 59 keluarga ditempatkan di SK Merbau Pulas, PPS di Dewan Serbaguna Pokok Sena menempatkan 125 orang daripada 36 keluarga, manakala PPS di daerah Kubang Pasu yang dibuka Sabtu lepas ditutup sepenuhnya pada 1 tengah hari tadi.
Berdasarkan laman sesawang Public Infobanjir, dua sungai di Kedah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Pendang di Pendang iaitu pada paras 3.52 meter (m) dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu (3.89m) manakala Sungai Titi Kerbau di Pendang melepasi paras amaran (6.03m).
Di PERAK, jumlah mangsa banjir di empat daerah petang ini turut berkurangan kepada 603 orang daripada 183 keluarga, berbanding 1,129 orang daripada 362 keluarga pagi tadi.
Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), sebanyak 27 orang daripada tujuh keluarga masih ditempatkan di PPS SK Matang, manakala 305 orang daripada 89 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Batu, PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai dan SK Pantai Remis di Manjung.
Jumlah mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-layang Kiri, Parit di daerah Perak Tengah pula kekal 110 orang daripada 31 keluarga, manakala di daerah Kerian, 161 orang daripada 56 keluarga masih berada di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman.
Empat PPS telah ditutup iaitu Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang serta Surau Al-Hidayah Pondok Quint Batu 13 di LMS dan SK Beruas serta SK Gangga di daerah Manjung.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


