LANGKAWI:Operator sektor pelancongan terus menawarkan potongan harga menarik kepada pelawat tempatan, yang dijangka akan kembali memenuhi pulau peranginan bebas cukai ini selepas kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah dan Perlis Razmi Rahmat berkata ketika ini hampir semua ahli persatuan itu khususnya di Langkawi memberi potongan pada kadar yang cukup menarik iaitu antara 50 hingga 70 peratus.

"MAH tidak menetapkan ahli persatuan perlu memberi diskaun harga bilik penginapan, namun ketika ini rata-rata hampir 40 ahli persatuan melibatkan hotel tiga hingga lima bintang mengambil inisiatif sendiri memberi potongan harga antara 50 dan 70 peratus.

"Tawaran ini sebenarnya sudah bermula sebelum PKPB namun terjejas berikutan pelaksanaan perintah itu, pelancong boleh buat sedikit carian dan layari laman sesawang hotel di Langkawi yang sesuai dengan bajet mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Razmi berharap rakan industri perhotelan untuk teruskan promosi sehingga hujung tahun atau awal tahun depan bagi memberi peluang kepada pelancong memperolehi harga bilik pada harga yang sangat menarik.

Bagi seorang pengusaha sukan air di pantai Chenang, Hussein Mohd Said, pihaknya juga memberi potongan harga untuk semua aktiviti yang ditawarkan, sebagai persediaan Langkawi bakal kembali dibanjiri pelancong tempatan.

Hussein berkata syarikatnya yang memiliki 81 buah jet ski untuk lawatan ke pulau-pulau kecil sekitar Langkawi, amat terjejas akibat pandemik COVID-19, dan kini beliau menaruh harapan tinggi agar sektor pelancongan domestik mampu kembali pulih dengan kehadiran pelancong tempatan.

"Penamatan PKPB serta pembukaan semula sektor pelancongan domestik, beri sedikit kelegaan kepada kami dan kita ambil kesempatan ini untuk beri potongan harga untuk aktiviti Fun Island Hopping menggunakan jet ski," katanya.

Beliau berkata pakej itu dipotong hampir separuh harga dan tempahan sudah boleh dibuat mulai semalam (7 Dis) hingga 31 Januari 2021, dan sah untuk digunakan sehingga 31 Disember 2021," katanya.

Seorang pemilik kedai buku terpakai, Mashhor Salleh pula berkata pelancong merupakan pelanggan utama perniagaannya di Jalan Pantai Chenang, namun ketika ini beliau berdepan dengan situasi agak sukar kerana biasanya kebanyakan pelanggan kedainya itu adalah pelancong asing, sedangkan kini beliau hanya berharap kepada pelancong tempatan.

"Akibat pelaksanaan PKPB kehadiran pelanggan terus menurun. Jualan mengalami penurunan 45 peratus, malah kadang kala pelanggan cuma ada pada harga Jumaat, Sabtu dan Ahad," katanya sambil menambah kedai itu menawarkan pelbagai pilihan buku dalam 18 bahasa.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pulau ini menerima ketibaan hampir empat juta pelawat tahun lepas, namun akibat pandemik COVID-19, ketibaan pelawat bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 hanya sekitar 1.2 juta.

-- BERNAMA