BUKAN sahaja pencapaian double treble yang pernah dilakukan Kedah mampu disaingi Johor Darul Ta'zim (JDT), malah lebih banyak rekod yang bakal dicipta pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan berkata, momentum yang dimiliki Harimau Selatan itu cukup konsisten dan tidak akan mampu disaingi dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

"Seperti semua orang katakan bahawa JDT ini dah dalam dunia berbeza selepas mereka memenangi saingan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

"Mereka cukup konsisten dengan perancangan yang sangat sempurna setiap tahun sehingga mereka gagal dicabar. Cukup contoh yang mereka tunjukkan dari segi pengurusan pasukan dan fasiliti yang agak sempurna berbanding pasukan lain.

"Malah, sejak daripada mula mereka ada rancangan yang cukup kukuh dan pencapaian sedekad mereka ini ditempuhi dengan strategi yang cukup konsisten," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Rabu, JDT mengesahkan dominasi mereka apabila muncul juara dalam saingan Liga Super untuk kali ke-10 berturut-turut selepas menewaskan PDRM FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Kemenangan itu menyaksikan JDT terus gah di puncak Liga Super dengan 64 mata hasil 21 kemenangan, seri sekali selain tidak tewas dalam 22 perlawanan setakat ini, sekali gus mempertahankan trofi Liga Super yang dimenangi sejak musim 2014 lalu.

Skuad Harimau Selatan itu juga dalam landasan terbaik untuk menyaingi rekod double treble yang pernah dilakukan Kedah pada 2007 dan 2008.

Gergasi Liga-M itu telah memenangi treble tahun lalu dan hanya menunggu kejuaraan Piala Malaysia musim ini untuk meraih double treble selepas kejayaan menjulang Piala FA dan juara Liga Super.

Dalam pada itu, Wan Jamak juga mengharapkan agar ada pasukan yang mampu memberikan cabaran kepada JDT sekali gus memastikan ada saingan kepada Harimau Selatan.

"Namun, sudah tentu dana menjadi perkara penting buat pasukan dan mereka kena merangka perancangan yang luar biasa seperti yang dilakukan JDT.

"Walaupun sukar, saya yakin akan ada pasukan mampu menyaingi JDT satu hari nanti," katanya. - Sinar Harian