GUA MUSANG: Mungkin ada yang tidak tahu terdapat 137 bahasa pertuturan di negara ini, dengan 80 peratus adalah bahasa etnik termasuk peribumi di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli di Semenanjung.

Namun, ada antara bahasa itu sedang berdepan ancaman kepupusan, khususnya yang dituturkan oleh subetnik minoriti seperti Mendriq, yang sebelum ini dilaporkan mungkin lenyap dalam tempoh 20 tahun lagi jika tidak ada usaha serius diambil bagi memelihara khazanah warisan negara tersebut.

Antara puncanya ialah bilangan penutur, iaitu suku kaum Mendriq sendiri, semakin mengecil dengan sekitar 600 orang yang ditemukan hanya di tiga lokasi di Kelantan - Kampung Lah di Gua Musang serta Kampung Pasir Linggi dan Kampung Sungai Tako di Kuala Krai.

Suku Mendriq merupakan subetnik minoriti Orang Asli Negrito, iaitu satu daripada tiga kumpulan Orang Asli di Semenanjung. Dua lagi ialah Senoi dan Melayu-Proto.

Tambah meresahkan, kajian mendapati rata-rata generasi muda suku kaum tersebut lebih gemar berinteraksi menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan dalam percakapan seharian, sekali gus melemahkan penguasaan bahasa nenek moyang mereka itu.

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Fazal Mohamed Mohamed Sultan, keadaan itu berlaku disebabkan oleh pertembungan sosial antara kaum Mendriq dengan masyarakat Melayu, di samping kedudukan kaum Mendriq sendiri sebagai etnik minoriti di negara ini.

Akan tetapi, katanya, elemen bahasa seperti aspek morfologi bahasa Mendriq masih dapat dikesan dalam pertuturan golongan itu.

Usaha memelihara bahasa Mendriq sudahpun dimulakan oleh sebuah platform perkongsian pengetahuan dalam talian, iaitu Wikimedia Malaysia menerusi Wikikamus, susulan laporan Bernama tentang ancaman bahasa yang dihadapi oleh suku kaum itu pada Jun lepas.

Akan tetapi, pakar melihat perlu ada usaha yang lebih terjamin bagi memastikan bahasa itu dan juga dialek minoriti lain tidak lenyap buat selama-lamanya.



PENDIGITALAN

Pensyarah kanan di Jabatan Linguistik Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Salinah Jaafar berpendapat, antara usaha yang boleh dilaksanakan bagi menjaga dan melestari bahasa ialah dengan mendokumentasikan bahasa itu ke dalam bentuk digital yang boleh diakses oleh pengkaji, pengguna dan peminat bahasa.

"Selain itu, perlu ada usaha menyemarakkan semula bahasa kaum minoriti ini melalui aktiviti kebudayaan dan kesenian supaya semua masyarakat dari dalam dan luar negara sedar akan kewujudan bahasa minoriti tersebut.

"Bahasa etnik minoriti adalah warisan khazanah bahasa dan bangsa yang perlu dipelihara dan direkod untuk dijadikan rujukan dan panduan generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian oleh ahli akademik di jabatannya pada 2014 bertajuk "Bahasa Orang Asli Melayu Proto: Bahasa atau Dialek Melayu?", sebilangan besar dialek dan bahasa kaum minoriti yang digunakan di rantau ini berasal daripada rumpun bahasa sama, iaitu Austronesia yang saling berkognat dan memperlihatkan persamaan ciri sosial dan budaya.

"Oleh sebab itu, kita amat menggalakkan lebih ramai penyelidik dan sarjana bahasa mendekati dan membuat penyelidikan tentang gaya hidup bahasa minoriti ini supaya bahasa mereka dapat dilestarikan dan tidak pupus," katanya.



USAHA MEMPERKASA

Sementara itu, usaha memperkasa bahasa Mendriq yang dilaksanakan oleh Wikimedia Malaysia bukan setakat merekodkan bahasa tersebut ke dalam Wikikamus, tetapi turut mengangkatnya ke pengetahuan antarabangsa pada Persidangan Wikimania 2023 yang berlangsung di Singapura pada Ogos lepas.

Presiden Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia, Dody Ismoyo berkata, penglibatan mereka dalam persidangan ke-18 itu bertujuan memelihara keunikan bahasa setiap etnik minoriti di Malaysia, khususnya bahasa Mendriq.

"Pada persidangan itu, wakil kami Ahmad Wafiq Aqil Kamarul membentangkan cabaran dan usaha-usaha yang dilakukan Wikimedia Malaysia untuk memartabatkan bahasa Mendriq agar tidak pupus ditelan zaman," katanya, menambah usaha mereka menyediakan Wikikamus bahasa Mendriq mendapat perhargaaan peserta persidangan.

Antaranya ialah wakil Indonesia, Ilham Mufti Laksono, yang berkata pendekatan Wikimedia Malaysia menyediakan platform dalam talian bagi membolehkan komuniti Mendriq merekodkan sendiri bahasa mereka perlu dipastikan berterusan.

"Sangat bagus dan saya sokong pendekatan yang dilakukan Wikimedia Malaysia kerana kami (perwakilan) dari negara lain juga boleh mengetahui bahasa-bahasa yang terdapat di Malaysia selain bahasa Melayu," katanya.

Beliau juga berharap usaha memelihara itu tidak terhenti hanya pada bahasa Mendriq, tetapi turut melibatkan budaya dan adat resam kaum berkenaan.

Pengasas Wikimedia, Jimmy Wales pula berharap Wikimedia Malaysia dan seluruh masyarakat Malaysia bersama-sama membantu menyelamatkan bahasa Mendriq.

Lebih 3,000 perwakilan dari 138 negara menyertai edisi ke-18 Wikimania yang dianjurkan oleh sukarelawan dari Singapura, Asia Tenggara dan rantau Pasifik dengan sokongan Yayasan Wikimedia.



BERTERUSAN

Hakikatnya, sekitar 6,000 bahasa dunia dilaporkan bakal pupus dalam tempoh 100 tahun lagi.

Sehubungan itu, Wikimedia Malaysia merancang lebih banyak program yang memberi penekanan terhadap bahasa minoriti di negara ini, kata ahli Jawatankuasa Jangkauan Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia Ahmad Wafiq Aqil Kamarul.

Antaranya ialah Persidangan East, Southeast Asia and the Pacific (ESEAP) 2024 di Kota Kinabalu, Sabah yang dijadualkan dari 10 hingga 12 Mei tahun depan.

"Selain mengadakan program bersama Orang Asli Mendriq di Kuala Lah Gua Musang, Kelantan, kami turut bekerjasama dengan Borneo Institute for Indigenous Studies dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Universiti Malaysia Sabah untuk memuat naik 2,860 perkataan daripada 25 bahasa etnik Sabah.

"Kami juga mengadakan pertemuan dengan Unit Bahasa Etnik, Kementerian Pendidikan di Putrajaya bagi membincangkan isu keperluan melestarikan bahasa-bahasa etnik, selain mencadangkan penggunaan platform Wikikamus dalam silibus murid-murid," katanya. - BERNAMA / Mohd Noor Iqram Ramli