BAP perkukuh akses pendidikan, bukti keprihatinan Kerajaan MADANI

BAP bagi tahun ini diteruskan dengan hampir RM800 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid tahun satu hingga tingkatan lima sekolah kerajaan tanpa mengira pendapatan ibu bapa. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), termasuk peluasan manfaat kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan, mencerminkan keutamaan kerajaan yang meletakkan pendidikan sebagai pelaburan strategik bagi menjamin akses pendidikan yang inklusif dan mampan untuk semua.
Pelaksanaan BAP bukan sekadar meringankan perbelanjaan awal persekolahan yang ditanggung ibu bapa, malah menjadi pendekatan yang menekankan kesiapsiagaan pelajar sebagai prasyarat penting kepada pembinaan modal insan berilmu bagi menyokong pembangunan negara jangka panjang.
Kepentingan pendidikan dalam melahirkan individu berdaya saing terus diberi perhatian serius Kerajaan MADANI bagi memastikan generasi muda sebagai aset negara sentiasa diperkasakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, berbanding pelaksanaan awal yang menumpukan kepada murid dan pelajar miskin, peluasan pemberian BAP kepada semua pelajar termasuk tingkatan enam tanpa mengira pendapatan mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memastikan kesinambungan pendidikan berkualiti kepada semua.
"Semua anak-anak mempunyai hak memasuki alam persekolahan tanpa mengira status sosioekonomi mereka. Kepentingan pendidikan ini amat signifikan kerana ia pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja.
"Namun, ada yang berdepan kekangan menikmatinya disebabkan cabaran kewangan. Bagi sesetengah pihak, mungkin RM150 tidak sebesar mana, namun jumlah itu telah banyak meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan awal persekolahan," kata pakar sosial berkenaan kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Okt tahun lepas berkata, BAP bagi tahun ini diteruskan dengan hampir RM800 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid tahun satu hingga tingkatan lima sekolah kerajaan tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
Kesemua murid dan pelajar akan menerima RM150 secara sekali beri.
Mengulas lanjut, Dr Mohammad Shatar menyifatkan bantuan itu bukan sekadar sokongan segera, sebaliknya turut berperanan sebagai pemangkin kestabilan emosi pelajar khususnya pada peringkat awal persekolahan yang sering menjadi fasa penyesuaian kritikal bagi kanak-kanak dan remaja.
Melalui BAP, beliau berkata inisiatif itu membantu memastikan setiap murid atau pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lebih seimbang, sekali gus mengelakkan masalah ketidakhadiran ke sekolah.
"Kita selalu memberi penekanan BAP meredakan bebanan kewangan ibu bapa tetapi dari sudut psikologi, ia memberi impak besar kepada anak-anak. Persiapan fizikal seperti pakaian, kasut dan kelengkapan sekolah sebenarnya mempunyai kaitan langsung dengan emosi pelajar.
"Jika mereka hadir ke sekolah tanpa persiapan yang sewajarnya dengan rakan sebaya, ia boleh menjejaskan keyakinan diri, menimbulkan rasa rendah diri serta membuka ruang kepada diskriminasi sosial atau buli," katanya.
Sementara itu, pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pengagihan bantuan yang dibuat secara serahan tunai di sekolah adalah langkah terbaik dalam mengeratkan hubungan antara guru, murid serta ibu bapa.
"Apabila masuk sekolah, kos memang tinggi untuk buat persediaan dan sekiranya tidak dapat disediakan, anak-anak ini berisiko ketinggalan sedikit berbanding rakan-rakan mereka apabila tidak mempunyai buku latihan dan sebagainya.
"Kerana itu, penting bantuan ini sebagai wang tambahan khususnya mereka yang memerlukan. Saya juga melihat penyaluran bantuan ini di sekolah melalui program pertemuan antara guru dengan ibu bapa adalah peluang mereka mengenali satu sama lain, yakni proses penting dalam pendidikan anak-anak," katanya.
Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) turut mencadangkan agar pelaksanaan BAP mengambil kira pendapatan isi rumah dengan jumlah bantuan ditentukan berdasarkan tahap keperluan sebenar keluarga termasuk bilangan anak yang bersekolah serta kemampuan kewangan ibu bapa.
Katanya keluarga paling miskin wajar menerima bantuan lebih tinggi berbanding golongan berpendapatan tinggi bagi memastikan peruntukan kerajaan itu dimanfaatkan secara lebih adil, sekali gus memberi impak besar kepada mereka yang memerlukan.
"Misalnya ibu bapa dari keluarga miskin dan anak ramai, peruntukan itu ditambah kepada RM300, yang sederhana diberikan RM200 sementara golongan berpendapatan tinggi diberikan RM100. Jumlah itu diberikan mengikut keperluan kerana kita dapati kumpulan miskin amat memerlukan," katanya.
Pekerja swasta, Mohamad Shofi Mat Isa, 40, berkata, BAP banyak membantunya apabila berjaya mengurangkan kira-kira 30 peratus kos perbelanjaan kelengkapan sekolah bagi tiga orang anaknya yang masing-masing berusia 9, 7 dan 5 tahun.
"Jika ditanya cukup atau tidak, memang RM1,000 seorang pun belum tentu mencukupi. Namun, saya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan MADANI atas bantuan yang benar-benar membantu kami sebagai ibu bapa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


