Seorang bapa dan anak lelakinya bakal berdepan hukuman mati atas kesalahan menyebabkan kematian seorang perompak yang memecah masuk kediaman mereka di Seremban, lapor Straits Times.

Mo Yi Hong, 56 seorang tukang masak dan anaknya Wei Qiang, 28 dituduh menyebabkan kematian Chen Wen Bao pada 24 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, Wen Bao dilaporkan memecah masuk kediaman Yi Hong bersama rakannya.

Ketika itu, Yi Hong bersama isterinya, Guo Shu Lan dan dua anak mereka berada di rumah bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Wen Bao kemudian bertindak mengelar lengan Shu Lan dengan pisau dan mereka sekeluarga mula melawan.

Dalam kekecohan itu, Wen Bao mati di tempat kejadian dan rakannya berjaya meloloskan diri.

Shu Lan cedera dan memerlukan 25 jahitan pada lengan.

Dalam satu temu bual bersama akhbar Nanyang Siang Pau, Shu Lan seorang warganegara Singapura berkata, tindakan suami dan anak lelakinya adalah tindakan mempertahankan diri.

Shu Lan turut memaklumkan bahawa Wen Bao masih sedarkan diri ketika diikat, namun tidak pasti bagaimana perompak itu mati.

Jika didapati bersalah, Yi Hong dan anaknya Wei Qiang boleh dijatuhi hukuman mati.

Mereka berdua mengaku tidak bersalah dan perbicaraan semula kes berkenaan akan dilakukan pada 30 April ini.