KOTA BHARU: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendera anak perempuan berusia lapan tahun, akhir bulan lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya anak perempuan kandung berusia lapan tahun itu dengan cara memukul menggunakan sebatang kabel sehingga mendatangkan kecederaan.

Kejadian dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh pada jam 1 pagi, 28 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh memukul mangsa yang juga anak bongsu menggunakan sebatang kabel di seluruh badan disebabkan telefon bimbit milik tertuduh mengalami masalah teknikal.

Mangsa bersama adik beradiknya melarikan diri dari rumah ketika bapa mereka sedang tidur untuk mendapatkan bantuan kakak mereka yang belajar di sebuah kolej di Kota Bharu.

Kakak mangsa yang melihat kecederaan adiknya tampil membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan jam 5.20 pagi di rumahnya sehari selepas kejadian.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh yang sepatutnya melindungi anak-anaknya.

Tertuduh pula memohon hukuman dikurangkan memandangkan dia sudah insaf dan tidak akan mengulanginya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman tiga tahun penjara kepada tertuduh.