KUCHING: Seorang lelaki sanggup menggadaikan maruah anak kandungnya yang berusia 10 tahun kepada rakan sendiri sebagai bayaran.

Suspek berusia 45 tahun itu direman selama lima hari selepas disyaki menjual anak perempuannya kepada seorang lelaki dipercayai rakannya untuk dirogol.

Permohonan reman telah difailkan di Mahkamah Kuching pada Rabu.

Susulan itu Majistret Zubaidah Sharkawi  membenar­kan perintah reman sehingga 3 Oktober depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Difahamkan mangsa telah memaklumkan tindakan bapa kandungnya itu kepada gurunya sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Bertindak atas laporan tersebut, suspek kemudian berjaya ditangkap sekitar jam 2 petang pada Selasa di kawasan Matang di sini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan.

Suspek katanya berjaya ditangkap pada 27 September 2022 sekitar jam 2 petang di Batu 10 Matang di sini.

Ditanya sama ada tindakan suspek ada kaitan dengan masalah judi, Abang Zainal berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk dakwaan itu sebagai motif.

“Saya mohon agar orang awam tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini memandangkan kes masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol ke atas kanak-kanak.