KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan maut disyaki akibat didera di rumahnya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Hulu Langat, Selangor.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 8.52 pagi, Isnin lalu.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan di badan mangsa namun mayatnya telah dihantar ke Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa mangsa mengalami kecederaan di bahagian dalam kepala dan kecederaan mangsa bukan disebabkan kemalangan tetapi perbuatan jenayah ke atasnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Muhamad Nasir berkata, polis menahan bapa kandung mangsa yang berusia 25 tahun semasa di hospital forensik.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati mangsa positif dadah jenis syabu.

"Justeru, permohonan reman telah dibuat ke atas suspek selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut," katanya.

Muhamad Nasir berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Asp S. Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.