KUCHING: Bapa penyanyi tanah air, Zarina Al-Qadry iaitu Wan Hassan Syed Jamil Alqadry Aljilani meninggal dunia pada Khamis malam.

Perkara itu disahkan anaknya Zarina atau Sharifah Zarian Wan Hassan dalam satu perkongsian video di Facebooknya.

Allahyarham dikatakan rebah ketika sedang menunaikan solat sunat sebelum Isyak di Masjid Kuching Family Park.

“Semasa dia (Allahyarham) berada di masjid hendak solat Isyak dan Tarawih, dia rebah pada solat sunat Isyak,” katanya.

Para jemaah yang berada di masjid tersebut membantu Allahyarham sebelum menghubungi ahli keluarganya.

Turut hadir di lokasi anak lelakinya Syed Muhammad Alqadry yang juga pengasas jenama baju melayu S_Alqadry Exclusive.

Pelantun lagu Langit Ketujuh itu turut memohon agar mendoakan semoga urusan bapa dipermudahkan.

“Mohon kalian semua mendoakan abah (Allahyarham) saya,” katanya lagi.

Difahamkan jenazah Allahyarham telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut sebelum urusan pengebumian selepas solat Jumaat esok.