KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 30 tahun kerugian lebih RM6,000 selepas disamun seorang lelaki di hadapan lif sebuah pangsapuri di Sentul Utama, di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dalam kejadian 10 malam itu, mangsa yang pulang dari kerja menaiki lif untuk ke rumahnya di tingkat lima pangsapuri berkenaan dan dalam lif itu juga terdapat suspek yang memakai topi keledar, baju dan seluar hujan berwarna hitam.

Beliau berkata suspek kemudian keluar di tingkat empat manakala mangsa yang bekerja sebagai barista di sebuah kafe di ibu negara meneruskan perjalanan ke rumahnya di tingkat lima.

"Semasa mangsa keluar dari lif di tingkat lima, suspek telah muncul di hadapan mangsa dan menghunus pisau ke perut mangsa sebelum mengarahkan mangsa mengeluarkan semua barangan peribadi antaranya sebuah telefon bimbit, kad bank serta dokumen peribadi yang bernilai kira-kira RM6,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Sukarno berkata suspek yang dianggarkan setinggi 160 sentimeter dan seberat 70 kilogram itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan identiti suspek boleh menyalurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222.

-- BERNAMA