SINTOK: Meskipun baru bergraduasi hari ini, Muhammad Ijmal Mohamed Akbar, 25, graduan Sarjana Muda Keusahawanan (Mod 2u2i) Universiti Utara Malaysia (UUM) sudah mampu meraih pendapatan mencecah RM15,000 sebulan.

Beliau yang kini bergelar pembangun laman sesawang, merupakan graduan kohort pertama untuk program berkenaan di UUM sejak diperkenalkan pada 2019.

Program tersebut adalah lanjutan daripada program asal iaitu Sarjana Muda Keusahawanan.

Menurut Muhammad Ijmal, beliau bersyukur kerana dapat mengikuti program pengajian Mod 2u2i dan perlu mengikuti kuliah selama dua tahun di kampus serta dua tahun lagi di dalam industri sebelum menamatkan pengajian dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.87.

Berkongsi pengalaman pengalaman awal berkecimpung dalam bidang keusahawanan ini, bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, dia mula belajar tentang perniagaan pada cuti semester ketika mengikuti pengajian peringkat diploma di sebuah institusi pengajian tinggi lain sebelum melanjutkan pengajian di UUM.

"Bermula dari situ, saya berminat untuk mendalami bidang tersebut terutamanya berkaitan e-Dagang dan laman sesawang yang dipelajari daripada YouTube.

"Saya asah kemahiran saya perlahan-lahan dan selepas berkahwin di usia 20 tahun, saya bekerja sebagai pereka web dengan gaji permulaan sebanyak RM1,500 sahaja. Dengan kemahiran yang ada ketika itu, saya hanya mampu menyiapkan satu laman sesawang dalam tempoh seminggu sahaja," katanya.

Selangkah demi selangkah, dia mula menghasilkan produk pertama iaitu Divi Xpress yang mengajar pengguna membina laman sesawang.

Bermula dari situ juga, anak muda ini mula dikenali, malah sering menerima tempahan untuk perkhidmatan membangunkan laman sesawang pada kadar RM2,000 hingga RM3,000.

Menurut anak kepada pasangan Mohamed Akbar Nazardin dan Nasriah Yunos, pada 2022 dia mula mendapat pekerjaan untuk menjaga dan mengekalkan laman sesawang enam syarikat yang mendapatkan khidmatnya.

"Di situlah saya mula mendapat pendapatan mencecah RM15,000 sebulan, selain berpeluang menjalankan perniagaan sendiri. Selain itu, saya juga menawarkan kelas percuma kepada mereka yang baru berjinak dan ingin menceburi bidang perniagaan teknologi maklumat, IT seperti saya.

"Berbekalkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang pemasaran e-Dagang, saya telah membantu lebih 400 usahawan membina laman sesawang untuk perniagaan sejak 2017. Ada antara mereka yang mencapai keuntungan lima hingga enam angka selepas membina laman sesawang perniagaan," ujar anak kelahiran Perlis itu.

Muhammad Ijmal berterima kasih kepada isterinya, Zam Zam Syafurah Samsudin, 28, serta ahli keluarga dan pensyarah UUM yang sentiasa memberi dorongan kepadanya untuk berjaya pada hari ini.

Katanya, mereka telah memberi sokongan di saat dia berdepan cabaran dari segi pengurusan masa yang perlu dibahagi antara keluarga, perniagaan sendiri dan pelajaran.

"Pengalaman mengikuti program dalam Mod 2u2i ni mengajar saya untuk belajar tentang realiti dunia perniagaan, pengurusan ahli pasukan, pelanggan, membina garis panduan dan juga pemasaran.

"Apa yang saya capai ini tidak hanya diperoleh daripada pembelajaran kelas semata-mata tetapi memerlukan pengalaman berurusan di dalam dunia perniagaan. Hal ini menjadikan saya lebih matang dan lebih faham tentang apa yang saya akan jangka pada masa akan datang," katanya yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana, seterusnya Doktor Falsafah bagi agar impian mendidik generasi akan datang tercapai.

Muhammad Ijmal menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik (Keusahawanan) yang dikurniakan oleh Canselor UUM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dewan Mu'adzam Shah, pagi tadi.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Mohd Foad Sakdan berkata, beliau bangga dengan pencapaian Muhammad Ijmal itu, sekali gus memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memastikan graduan baru lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) memperoleh gaji premium melebihi RM4,000.

Beliau berharap, pencapaian Muhammad Ijmal akan menjadi inspirasi kepada semua pelajar UUM yang masih belajar atau yang baru sahaja tamat pengajian.

Program Sarjana Muda Keusahawanan (Mod 2u2i) Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) yang diperkenalkan di UUM adalah selaras dengan aspirasi universiti dan KPT melalui agenda keusahawanan negara dan ke arah negara berpendapatan tinggi.

Objektif program ini adalah untuk melahirkan graduan keusahawanan yang bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, seterusnya membantu membangunkan ekonomi negara.

Menerusi program ini, pelajar mengikuti kuliah selama dua tahun atau empat semester (Inkubasi 1, Inkubasi 2, Inkubasi 3 dan Inkubasi 4) di universiti dan empat semester lagi atau dua tahun (Seed 1, Seed 2, Start-up 1 dan Start-up 2) di industri.

Untuk rekod, sehingga kini UUM telah membuat pengambilan sehingga kohort 4 dengan bilangan pelajar keseluruhan adalah seramai 101 pelajar termasuk 11 graduan dari kohort 1.