Semua bas ekspres akan diwajibkan memasang alat pengehad kelajuan menjelang tahun 2020.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron berkata arahan dibuat sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres.

"Kita telah minta semua bas yang baru dikeluarkan dan didaftarkan agar dipasang alat tersebut mulai Januari tahun depan.

"Untuk bas-bas lama kita memberikan tempoh lima tahun atau menjelang 2020 semua bas akan ada alat pengehad kelajuan kerana ia melibatkan kos," katanya dalam sidang media mengenai sistem integrasi bersepadu agensi penguat kuasa di sini hari ini.

Pemasangan alat pengehad kelajuan katanya diharap dapat memastikan bas ekspres hanya bergerak pada had 90 kilometer sejam.

Setakat ini, JPJ masih mengkaji mekanisme alat pengehad kelajuan itu dan tidak menolak kemungkinan memberi penambahan 10 peratus kelajuan bagi tujuan memotong kenderaan lain.

Ketika ini had laju kebangsaan bagi kenderaan berat di lebuh raya adalah 80 hingga 90 kilometer sejam manakala di jalan Persekutuan dan Negeri adalah 70 hingga 80 kilometer sejam.

Ketika ini JPJ menggunakan sistem perkomputeran mySIKAP dalam menjalankan operasi penguatkuasaan jalan raya, manakala Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mempunyai sistem tersendiri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Khamis mengulangi gesaannya terhadap syarikat bas ekspres untuk memasang alat pengehad kelajuan.