Kegagalan memahami maksud dan kebaikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat punca utama peserta perhimpunan bantah GST yang dijadual berhimpun dari Pasar Seni sehingga ke KLCC.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Lokman Noor Adam berkata, bantahan dilihat bermula daripada ketidakfahaman selain usaha pembangkang dalam memanipulasi isu ini dalam memburukkan kerajaan.

"Sepertimana tahun lalu kita akan menyaksikan perhimpunan bantah GST hari ini. Jika tahun lepas bantahan berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap GST, bantahan tahun ini pula adalah kerana mereka gagal untuk memahami punca sebenar kenaikan harga barang di pasaran," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Jelasnya, GST dilihat sukar difahami kerana pemahaman tentang cukai ini hanya boleh dicapai melalui penerangan dan tulisan panjang-lebar mengunakan bahasa rakyat yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.

"Itu sebabnya ramai yang gagal menyahut cabaran untuk memikul tugas besar menerangkan kepada rakyat tentang GST. Lebih mengecewakan, bila mereka sendiri tidak faham tentang GST, mereka mula mengiakan segala fitnah dan tohmahan terhadap GST.

"Keadaan menjadi lebih parah apabila ada pula yang menggunakan GST untuk menjatuhkan pemimpin negara dan mendesak agar GST dibatalkan," katanya.

BACA: #BatalGST: Perhimpunan mula di Pasar Seni hingga KLCC

Ujarnya lagi, selepas sebulan, hasrat Kerajaan untuk melihat beban cukai yang ditanggung oleh rakyat berkurangan, masih belum dapat direalisasikan.

"Sungguhpun punca sebenar kenaikan harga barang majoritinya berpunca daripada sikap peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan, namun apabila GST itu sendiri gagal difahami, sebahagian rakyat akhirnya mengambil jalan mudah dengan menyalahkan Kerajaan yang melaksanakan GST.

"Bagaimanapun apa yang kita harapkan melalui GST masih belum nampak kesan positif secara menyeluruh lagi," ujarnya.

Katanya, ada enam punca kenaikan harga barang yang dapat dikesan sepanjang sebulan GST dilaksanakan.

"Pertama, kerana ada barangan yang tidak dicukai sebelum ini, tetapi kini dikenakan GST.

"Keduanya, kedai-kedai yang masih mempunyai stok lama dan boleh dituntut cukai jualan yang telah dibayar. Namun sekiranya ianya sudah digunakan sebahagiannya, maka cukai jualan ke atas produk tersebut tidak boleh dituntut. Ini adalah kerana cukai jualan hanya boleh dituntut semula jika barangan tersebut masih sempurna atau dalam bungkusan," katanya.

Ketiga pula kata Lokman, ada pula peniaga yang layak menuntut cukai jualan tetapi mengambil pendekatan untuk tidak menuntut menuntut cukai jualan kerana tidak mahu bersusah payah melalui proses tuntutan.

"Ini disebabkan, pihak yang boleh menuntut cukai jualan ialah pengilang. Oleh itu, peruncit perlu menuntut kepada pemborong, pemborong pula kena tuntut kepada pengilang, barulah pengilang menuntut dengan kastam.

"Inilah puncanya hanya 3 orang peniaga yang membuat tuntutan cukai jualan ke atas stok lama mereka, dari 75,000 peniaga.

Katanya lagi, punca keempat pula dilihat ada dikalangan peniaga ini menuntut semula cukai jualan, tetapi mereka masih memindahkan kos GST itu untuk ditanggung oleh penguna.

"Kelima, ada juga peniaga yang tetap menjual pada harga lama walaupun kos pengeluaran mereka berkurangan selepas GST. Wujud juga peniaga yang mengambil kesempatan selain mereka sendiri kurang faham sistem GST namun tetap mengenakan cukai itu sedangkan tidak mendaftar dengan kastam serta tidak mempunyai Nombor Pendaftaran Kastam.

"Akhirnya, kita juga perlu sedar tentang wujudnya peniaga yang mensabotaj. Mereka juga menjadi faktor peningkatan harga barang. Sejak pengumuman GST pada 2013, sudah ada peniaga yang sengaja menaikkan harga barang walaupun GST hanya akan dilaksanakan 17 bulan selepas itu.

"Malah dengan biadapnya mereka meletakkan gambar Najib dan isterinya untuk dipersalahkan atas kenaikan harga ini. Mereka ini terdiri daripada peniaga-peniaga pro pembangkang," katanya.

Golongan berkenaan tegas Lokman disifatkan menggunakan GST sebagai alasan untuk mengaut keuntungan berlebihan dan dalam masa yang sama mengharapkan tindakan mereka itu akan menaikkan kemarahan rakyat dan sekali gus memudahkan mereka menjatuhkan kerajaan.

"Bagi mengatasi masalah peniaga yang mengambil kesempatan dan curang ini, rakyat harus dididik supaya berani melaporkan penyelewengan yang dilakukan oleh peniaga-peniaga yang berkenaan dan menjayakan kempen Memilih, Melapor dan Memboikot" jelasnya.