Skip to main content

Malaysia

Batu bersurat ungkap sejarah awal masyarakat Hainan di Kemasik

CHUKAI, 11 Sept - Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Pekan Air Jernih, Khaw Kian Hup, 71, menunjukkan terjemahan tulisan di batu bersurat yang mempunyai ukiran tulisan Cina ketika ditemui di Kampung Air Jernih, Kemasik, dekat sini hari ini. Jika Batu Bersurat Terengganu yang ditemui pada 1887 di tebing Sungai Tersat, Kampung Buluh, Kuala Berang, Hulu Terengganu menjadi bukti penting perkembangan awal Islam dan tamadun di negeri ini, sebuah batu bersurat dipercayai be
Khaw menunjukkan terjemahan tulisan di batu bersurat yang mempunyai ukiran tulisan Cina ketika ditemui di Kampung Air Jernih, Kemasik, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

CHUKAI: Jika Batu Bersurat Terengganu yang ditemukan pada 1887 di tebing Sungai Tersat di Kampung Buluh, Kuala Berang, Hulu Terengganu menjadi bukti penting perkembangan awal Islam di negeri ini, satu batu bersurat di Kampung Air Jernih, Kemasik dekat sini pula membuka lembaran berbeza mengenai sejarah awal masyarakat Cina berketurunan Hainan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Pekan Air Jernih, Khaw Kian Hup, 71, berkata batu jenis granit dipercayai berusia 100 tahun yang mempunyai ukiran tulisan Cina berukuran 16 sentimeter (cm) lebar, 98 cm panjang dan 10 cm tebal itu diukir oleh Dinasti Guang Xu pada 1906.

Beliau berkata batu bersurat berkenaan dipercayai dibawa pedagang dari Hainan, China ke kawasan itu dan diletakkan di hadapan sebuah premis di perkampungan berkenaan.

Khaw berkata tulisan berkenaan yang berbentuk syair mempunyai kaitan dengan sejarah penempatan masyarakat Hainan yang membentuk sebuah komuniti kecil di kampung itu sejak 1888.

"Tulisan di batu bersurat itu bertajuk "Nama Baik Kekal Selama-lamanya" dan antara kandungannya menceritakan penghijrahan pedagang dari Hainan ke kampung ini serta doa agar Tuhan memelihara darat dan perairan," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan hari ini.

Perkampungan Cina Hainan itu yang merupakan terbesar di Malaysia mempunyai deretan rumah kedai kayu dua tingkat dengan mengekalkan rupa bentuk klasik.

Khaw berkata ketika kejadian serangan tentera Jepun pada 1941, beberapa premis dan rumah penduduk turut musnah namun batu bersurat berkenaan tidak mengalami kerosakan.

Pesara guru itu berkata batu bersurat itu kemudian dipindahkan dan diletakkan di dinding dalam bangunan Persatuan Hainan Kemasik yang dibina di kampung itu pada 1980-an bagi memastikan tinggalan sejarah masyarakat Cina Hainan itu tidak hilang ditelan zaman selain berpotensi sebagai warisan sejarah Kemasik.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Hainan Kemasik, Wang Kwee Fong, 57, berkata batu bersurat itu mampu menjadi tarikan pelancong dari Hainan untuk mengenali asal usul penduduk dan perkampungan berkenaan pada masa hadapan.

Beliau berkata sebelum ini terdapat rombongan rakyat China ke Terengganu telah singgah di kampung itu untuk melihat batu bersurat yang cukup tinggi nilai sejarahnya.

"Seorang pensyarah dari Universiti Hainan juga pernah menjalankan kajian terhadap batu bersurat berkenaan dan sejarah penempatan masyarakat Cina berketurunan Hainan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata pihak persatuan juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak yang berminat melakukan kajian dan penyelidikan bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sejarah batu bersurat itu.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Cawangan Terengganu Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata kajian terperinci perlu dilakukan oleh Muzium Negeri Terengganu terhadap batu bersurat tersebut bagi mengenal pasti nilai sejarah serta kepentingannya kepada warisan masyarakat Hainan di Kemasik.

“Jabatan Warisan Negara juga boleh mewartakan tinggalan bersejarah ini sebagai warisan, tertakluk kepada penilaian dan kajian dijalankan. Kajian ini penting bagi mendapatkan gambaran berkaitan sejarah kedatangan serta perkembangan masyarakat Hainan di kawasan itu," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement