Orang ramai dinasihatikan untuk membawa pen sendiri sekiranya sesuatu tempat itu tidak mempunyai aplikasi pengesanan kontak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka juga boleh mensanitasi tangan dan pen sebelum mengisi borang butiran diri sekiranya pen tersebut digunakan oleh orang ramai.

"Apa yang penting adalah, sekiranya tiada kod QR, kami menasihati anda untuk membawa pen sendiri. Sentiasa ada pen sendiri, lebih baik ada pen sendiri.

"Saya pernah ke sebuah kedai, mereka ada pekerja mereka sendiri untuk mengisi borang tersebut, bukan kita. Itu salah satu cara.

"Tapi jika anda perlu menulis, pastikan anda sanitasi tangan dan pen, jika boleh. Jika anda khuatir pen itu digunakan oleh orang ramai, itu adalah cara terbaik untuk melindungi diri," katanya pada sidang media harian di sini pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berkenaan kebimbangan sesetengah individu yang perlu berkongsi pen untuk mengisi borang butiran diri.

Beliau pada masa sama menasihati orang ramai untuk memuat turun aplikasi MySejahtera di mana sistem kod QR akan digunakan sepenuhnya pada Jun ini.