Pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibuat bermula Isnin ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata wang itu akan dimasukkan terus menerusi akaun bank penerima.

Katanya, penerima bagi BSH fasa pertama ini dibuat mengikut pangkalan data dan kaedah lama.

Bagaimanapun, kemaskini perlu dibuat pada masa hadapan dan proses pendaftaran semula akan turut dilakukan bagi memastikan hanya yang layak sahaja menerima BSH.

"Mulai esok, bayaran bagi fasa pertama BSH akan dimasukkan ke akaun bank penerima mengikut pangkalan data yang diguna sebelum ini. Tetapi data akan dikemaskini dalam masa terdekat kerana kita mahu hanya yang betul-betul layak sahaja terima BSH," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Digital di Jalan Masjid Negeri di sini, pada Ahad.


Pembayaran BSH 2019 dijangka memanfaatkan kira-kira 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.

Jumlah itu akan melibatkan peruntukan lebih RM1.2 bilion dengan pembayaran dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.